Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ) bertindak merampas aset terlibat dalam skandal kewangan 1MDB.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ) bersetuju mengembalikan 12 lukisan bernilai tinggi kepada Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan aset berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
SPRM dalam kenyataan memaklumkan persetujuan itu dicapai hasil dua siri perbincangan dua hala bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan USDOJ yang berlangsung di Washington DC dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu.
Menurut kenyataan itu, perbincangan memberi tumpuan kepada pemulihan aset 1MDB, khususnya pengembalian lukisan bernilai tinggi yang dibeli oleh Jasmine Loo dan kini berada di bawah kawalan USDOJ.
“Hasil perbincangan tersebut, USDOJ bersetuju untuk mengembalikan lukisan-lukisan berkenaan kepada Malaysia melalui SPRM,” katanya.
SPRM menjelaskan, sebanyak 12 karya seni dengan nilai dianggarkan melebihi AS$30 juta telah dikenal pasti dan ketika ini dipegang oleh rumah lelongan Christie’s serta Sotheby’s Auction House di Amerika Syarikat.
Antara karya yang terlibat ialah Pablo Picasso (1961), L’Ecuyère et les clowns; Joan Miró (1953), Composition; William H. Bailey, Still Life; Alexander Calder, Studies for Sculpture; serta Henri Matisse, Femme Assise.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM memaklumkan perbincangan turut menyentuh kes melibatkan rapper Amerika Syarikat, Pras Michel, yang dijatuhi hukuman penjara 14 tahun selepas menerima AS$120 juta, dengan sebahagiannya dikaitkan dengan dana 1MDB dan syarikat proksi.
USDOJ turut memaklumkan masih terdapat aset milik Low Taek Jho atau Jho Low di Singapura yang tidak termasuk dalam Perjanjian Penyelesaian Amerika Syarikat.
“Aset di Hong Kong, Singapura dan Perancis bagaimanapun telah dilupuskan dan hasil pelupusan akan dipindahkan ke Amerika Syarikat,” menurut kenyataan itu.
SPRM berkata perbincangan dua hala itu juga melibatkan kes berkaitan Tim Leissner, Tarek Obaid dan PetroSaudi, selain Riza Aziz serta firma guaman White & Case.
“FBI dan USDOJ menegaskan komitmen penuh terhadap kerjasama rentas sempadan bagi memastikan semua aset yang masih berada di luar negara dapat dijejak, disita dan dipulihkan mengikut undang-undang,” katanya.
Jerebu: Agong titah sekolah tutup jika IPU 150 hingga 180
Anwar hubungi Prabowo, ASEAN digerakkan tangani jerebu
MCMC siasat dakwaan AI hasilkan video seksual libat guru, pelajar
Tiada lesen judi baharu dikeluarkan: MOF
Kandungan palsu berhubung dua kematian pelajar, MCMC ambil tindakan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum