Ahmad Zahid Hamidi.
Usul MIC untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) hanya akan diputuskan pada Januari depan menerusi mesyuarat Dewan Tertinggi BN, kata Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menegaskan perkara itu tidak berkait dengan Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang dijadual berlangsung pada 14 hingga 17 Januari depan, memandangkan kedudukan UMNO dan MIC adalah setara dalam gabungan tersebut.
“Kita akan mengadakan mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Januari depan dan ketika itu keputusan akan dibuat,” katanya selepas merasmikan Majlis Pengumuman Pakej Lengkap Desa Kirana di Dataran Pantai Batu 23, Sungai Nibong hari ini.
Menurut Zahid, sebarang keputusan melibatkan masa depan parti komponen dalam BN perlu dibincangkan secara kolektif dan berlandaskan kepentingan jangka panjang gabungan itu sendiri.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak tergesa-gesa membuat keputusan yang boleh memberi kesan besar terhadap landskap politik negara.
Media sebelum ini melaporkan MIC meluluskan usul untuk keluar daripada BN pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79, namun sehingga kini tiada pertemuan rasmi diadakan antara kepimpinan BN dan MIC bagi membincangkan perkara tersebut.
Mengulas lanjut, Zahid berkata situasi politik negara sentiasa berubah dan dalam tempoh 24 bulan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
“Dalam politik, banyak perkara boleh berubah dalam masa singkat. Apa yang hampir pasti ialah perubahan itu sendiri,” katanya, sambil menggesa parti-parti komponen BN supaya berfikir secara rasional dan strategik sebelum mengambil sebarang langkah drastik.
Beliau menambah, BN kekal komited untuk memastikan kestabilan politik dan kerjasama antara parti komponen terus diperkukuh demi kepentingan rakyat dan negara.
Amanah gesa dakwaan campur tangan asing disiasat, bukan jadi modal politik PAS
Undi PAS bukan tiket ke syurga: Mujahid
MB Negeri Sembilan tegaskan sokongan kepada Tuanku Muhriz
Syurga bukan milik parti politik: Menteri Agama
Fuziah: Jangan gopoh adakan PRU-16 hanya kerana kepentingan politik
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum