MIC sebelum ini membawa usul untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang surat atau resolusi rasmi daripada MIC berhubung usul parti itu untuk keluar daripada gabungan berkenaan.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, setakat ini tiada dokumen dikemukakan kepada kepimpinan BN walaupun MIC telah meluluskan usul tersebut dalam Perhimpunan Agung Tahunan ke-79 parti itu.
“Saya tidak nampak apa-apa resolusi ataupun surat daripada MIC. Jadi sudah tentu kita tidak membuat sebarang keputusan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) hari ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan BN tidak akan membiarkan perkara itu berlarutan tanpa kepastian sekiranya MIC gagal membuat keputusan muktamad.
“Kalau mereka tidak dapat membuat keputusan, BN akan membuat keputusan berkaitan kedudukan MIC dalam gabungan,” katanya.
Zahid turut mengesahkan tiada sebarang pertemuan diadakan antara BN dan MIC selepas perhimpunan agung parti itu berlangsung.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua parti komponen BN supaya berfikir secara rasional dan jauh sebelum mengambil langkah meninggalkan gabungan yang telah lama dibina.
“Landskap politik akan berubah, dan saya yakin perubahan itu akan berlaku dalam tempoh 24 bulan menuju Pilihan Raya Umum ke-16. Banyak perkara boleh berlaku dan hampir pasti akan berlaku,” katanya.
Beliau menambah, keputusan yang dibuat tanpa mengambil kira perubahan semasa boleh mengundang penyesalan pada masa hadapan.
“Saya cuma ingin ingatkan, jangan menyesal jika keputusan itu tidak selari dengan realiti politik semasa. Saya bimbang ada pihak yang akhirnya berada dalam keadaan tergantung dan itu bukan situasi yang baik,” katanya, tanpa menamakan mana-mana parti.
Sementara itu, mengulas kemungkinan IPF diterima sebagai parti teras BN, Ahmad Zahid berkata perkara tersebut tertakluk sepenuhnya kepada persetujuan semua parti komponen.
“Perlembagaan BN menetapkan bahawa kemasukan mana-mana parti sebagai parti teras mesti dipersetujui secara sebulat suara. Atas sebab itu, bukan sahaja IPF, malah beberapa parti lain juga tidak dapat diterima sebagai parti teras,” katanya.
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
AGC bawa kes pembatalan pendaftaran PN ke Mahkamah Rayuan
DUN Sarawak bubar 26 Oktober ini, beri laluan PRN diadakan
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
Abang Johari panggil sidang media khas, DUN Sarawak bakal bubar?
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum