Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menerima kunjungan daripada Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Kepulangan Muhyiddin Yassin dari rawatan pemeriksaan kesihatan di luar negara pada Isnin mencuri perhatian apabila disambut meriah oleh pimpinan serta penyokong Parti Bersatu di lapangan terbang, ketika peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terus menjadi bualan politik.
Suasana semakin hangat apabila Muhyiddin dikunjungi Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, yang dikatakan membawa mandat khas daripada Presidennya, Abdul Hadi Awang, pada Selasa.
Pertemuan itu menambah tanda tanya mengenai hala tuju kepimpinan PN dalam tempoh terdekat.
Perkara tersebut didedahkan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman menerusi satu hantaran di Facebook yang memaparkan pertemuan kedua-dua tokoh itu.
Hantaran berkenaan hanya disertakan kapsyen ringkas, “Alhamdulillah. Insya-Allah,” namun cukup untuk mencetuskan pelbagai tafsiran dalam kalangan pemerhati politik.
Sebelum ini, PN berdepan ketegangan dalaman susulan krisis pentadbiran di Perlis yang menyaksikan pertukaran jawatan Menteri Besar daripada wakil PAS kepada Bersatu.
Situasi itu kemudiannya disusuli dengan pengumuman Muhyiddin mengenai peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN, sekali gus membuka ruang kepada spekulasi mengenai pengganti jawatan tersebut.
Usaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada Syahir tidak berjaya.
Namun, sebuah portal berita melaporkan beliau menjelaskan pertemuan berkenaan hanyalah pertemuan santai selepas Muhyiddin pulang dari luar negara.
Menurut laporan sama, Syahir tidak mengesahkan atau menafikan sama ada pertemuan itu berkait dengan desas-desus pencalonan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu.
“Ia sekadar pertemuan biasa,” katanya ringkas seperti dipetik portal berkenaan.
Beliau turut memaklumkan mesyuarat Majlis Tertinggi PN dijangka diadakan dalam masa terdekat, namun tarikh dan agenda rasmi masih belum didedahkan.
Setakat ini, teka-teki mengenai kepimpinan PN kekal menjadi perhatian, dengan semua mata tertumpu kepada keputusan yang bakal menentukan hala tuju gabungan tersebut.
PKR nafi dakwaan bertanding sendiri PRN Johor
Henti bertelingkah, utamakan kebajikan rakyat: Anwar
Khairy kembali UMNO sebab nak bertanding kerusi pilihan raya saja: Rafizi
Jangan hanya semasa senang saja nak bersama dengan BN: Zahid
Hisham bersyukur penggantungan ditarik balik, sedia bantu UMNO kembali
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan