Kes Polis.
Seorang wanita yang ditahan kerana cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semasa Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri 2025 pada hari Ahad lalu telah direman selama tiga hari mulai hari Isnin.
Perintah reman terhadap suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Suspek yang berpakaian serba hitam dan tangan bergari telah tiba di pekarangan IPD Ipoh pada pukul 10.15 pagi ini di bawah pengawasan polis.
Proses permohonan reman diselesaikan kira-kira sejam kemudian.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, tempoh reman tiga hari tersebut bermula dari hari Isnin hingga Rabu ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Beliau menjelaskan iasatan ini dijalankan mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan cubaan menyebabkan cedera parah.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.20 pagi Ahad lalu menyaksikan wanita itu dilihat berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat sewaktu lagu kebesaran negeri Perak dimainkan.
Pihak polis juga telah melakukan semakan latar belakang suspek dan mendapati bahawa wanita tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan dengan kes dadah serta rekod rawatan psikiatri.
Suspek kini diketahui berada di bawah pengawasan pakar kesihatan mental.
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
PMX mahu hentikan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Pengerusi TH sanggah dakwaan Madinah tidak dipanggil beri keterangan dalam RCI
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum