Calon DUN Chuah, Yew Boon Lye membuat laporan polis berhubung tuduhan terhadapnya.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Chuah, Yew Boon Lye menafikan dakwaan kononnya pasukannya mengagihkan wang kepada pengundi selepas tular video dan gambar di media sosial yang dikaitkan dengan kegiatan membeli undi.
Yew yang mempertahankan kerusi itu berkata beliau sendiri belum sempat menonton rakaman berkenaan kerana sibuk berkempen, namun menegaskan pasukannya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti seperti didakwa.
“Tak ada, mana PKR ada wang. Saya pun pening memikirkan kempen saya sendiri.
“Saya tak tahu siapa yang buat macam ini. Kami pun tak ada maklumat. Saya harap perkara macam ini tak berlaku lagi,” katanya dipetik laporan media.
Beliau turut mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa bagi memastikan perkara itu disiasat secara telus.
“Saya tak ada kuasa untuk menyiasat. Saya memang alu-alukan siasatan daripada pihak berkuasa,” katanya.
Kontroversi itu tercetus selepas beberapa video dan gambar tular memaparkan orang ramai beratur di sebuah restoran di Bukit Pelanduk.
Dalam satu rakaman, beberapa individu dilihat berkumpul di sebuah meja, manakala seorang daripada mereka dipercayai mengambil gambar MyKad menggunakan telefon pintar.
Turut tular ialah sekeping gambar yang memaparkan beberapa keping wang RM100 dimasukkan ke dalam sampul, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial.
Rakaman dan gambar tersebut dikongsi menerusi platform media rasmi MCA di Facebook dengan dakwaan berlaku kegiatan membeli undi.
Walaupun tiada parti dinamakan secara khusus, hantaran itu dipercayai merujuk kepada PKR memandangkan pertandingan di DUN Chuah kali ini hanya melibatkan calon PKR dan MCA.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azmi Sharom menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau menyaksikan perbuatan rasuah supaya segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Jika ada orang yang menyaksikan perbuatan rasuah, mereka harus membuat laporan kepada SPRM,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon memaklumkan parti itu akan membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Kerusi DUN Chuah menyaksikan saingan satu lawan satu antara Yew yang mewakili PH dengan calon MCA, Pau Jeou Ching.
Pada Pilihan Raya Negeri 2023, Yew mempertahankan kerusi itu atas tiket PH dengan memperoleh 8,172 undi, menewaskan calon PN-Gerakan, Tang Jay Son yang meraih 1,874 undi.
RCI TH didedah ikut proses, tunggu persetujuan Kabinet nyahklasifikasi: Fahmi
Azeez Rahim sedia disiasat semula, susulan pendedahan laporan RCI Tabung Haji
RCI Tabung Haji: Pengkhianatan terbesar datang dari tangan sendiri
Laporan RCI dedah bonus lumayan kepada kakitangan TH ketika aset susut
Anwar ambil alih pantau isu masyarakat india, mohon maaf guna istilah ‘kuil haram’
Altimet gesa tumpuan diberi kepada nasib pendeposit Tabung Haji
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO