Laporan RCI dedah bonus lumayan kepada kakitangan TH ketika aset susut

July 29, 2026 · Politik

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mendedahkan kakitangannya menerima bonus antara dua hingga 13 bulan gaji sepanjang tempoh 2010 hingga 2017, termasuk bonus khas pada 2014 yang melibatkan perbelanjaan RM74 juta, walaupun institusi itu berdepan masalah kewangan.

Laporan yang didedahkan kepada umum hari ini menyifatkan amalan pemberian bonus yang terlalu tinggi itu tidak lagi wajar diteruskan, mengambil kira kedudukan kewangan TH ketika itu yang berdepan defisit aset berbanding liabiliti.

Menurut laporan berkenaan, suruhanjaya turut mengesyorkan usaha diambil bagi mendapatkan semula bonus yang telah dibayar kerana pembayaran tersebut dibuat tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Amalan pembayaran bonus yang terlalu tinggi kepada kakitangan TH hendaklah dihentikan dan usaha sewajarnya diambil bagi mendapatkan semula bonus yang telah dibayar kerana ia tidak mematuhi peraturan,” menurut laporan itu.

RCI menjelaskan, garis panduan kerajaan hanya membenarkan pertimbangan bonus melebihi dua bulan gaji sekiranya sebahagian besar pegawai dan pekerja menunjukkan prestasi cemerlang.

Laporan itu turut menjelaskan kelulusan pembayaran bonus melalui tiga peringkat, iaitu Lembaga Pengarah TH, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Kewangan.

Namun, suruhanjaya mendapati kedua-dua menteri lazimnya menerima syor yang telah dipersetujui oleh pihak pengurusan serta Lembaga Pengarah TH.

Menurut RCI, alasan yang diberikan bagi pembayaran bonus tersebut ialah keuntungan kukuh yang dicatatkan TH pada tahun-tahun berkenaan, dengan jumlah bonus dikira berdasarkan antara 1.7 hingga 2.5 peratus daripada keuntungan tahunan.

Bagaimanapun, suruhanjaya berpandangan alasan itu tidak boleh dijadikan justifikasi memandangkan kedudukan sebenar kewangan TH antara 2014 hingga 2017 menunjukkan jumlah aset lebih rendah berbanding liabiliti, seperti direkodkan dalam penyata kewangan tahunan dan diakui Jabatan Audit Negara.

RCI turut bersetuju dengan pandangan undang-undang yang dikemukakan firma guaman Md Tajuddin & Co yang menyatakan pembayaran bonus kepada Lembaga Pengarah TH Properties melanggar peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016.

Laporan itu merupakan sebahagian daripada penemuan RCI yang ditubuhkan bagi menyiasat isu tadbir urus, pengurusan dan pelaburan TH selepas timbul pelbagai dakwaan berkaitan kelemahan pentadbiran institusi berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan turut memaklumkan TH mengalami kerugian kira-kira RM10 bilion akibat kegagalan mematuhi peraturan serta kesilapan dalam pelaburan sejak 2014, selain mendedahkan institusi itu pernah beroperasi dalam keadaan aset lebih rendah daripada liabiliti.

Penemuan terbaru RCI itu dijangka menjadi asas kepada tindakan lanjut kerajaan bagi memperkukuh tadbir urus serta memulihkan keyakinan pendeposit terhadap TH.

Berita berkaitan
Laporan RCI Tabung Haji: Amaran BNM sejak 2014 tidak diendahkan, tanggung rugi RM10 bilion
3 jam lalu· Isu semasa
Pelaku sebabkan kerugian Tabung Haji akan disiasat : PM
4 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan percepat sidang khas Parlimen bahas laporan RCI Tabung Haji: Fahmi
5 jam lalu· Politik
TH sudah laksana 75 peratus syor RCI, komited perkukuh tadbir urus
6 jam lalu· Isu semasa
Lagi Politik terkini
PRN NS: Loke dakwa difitnah pemimpin UMNO konon bakal jadi MB
July 29, 2026 · Politik
Anwar ambil alih pantau isu masyarakat india, mohon maaf guna istilah ‘kuil haram’
July 29, 2026 · Politik
Video ucapan tular, MCA diasak isu ‘Yahudi’ menjelang hari mengundi: Lapor Malaysiakini
6 jam lalu · Politik
PRN NS: Manifesto PH bukan sekadar janji, 30,000 pekerjaan ada asas kukuh
8 jam lalu · Politik
MN: Bersatu cabar UMNO tarik sokongan Kerajaan Selangor
8 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO
15 jam lalu
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
July 28, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok