24 alasan dikemukakan pendakwaan berhubung pembebasan Isa Samad: Laporan

July 5, 2025 · Isu semasa

Pihak pendakwaan mengemukakan 24 alasan dalam petisyen rayuannya mengapa Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila membebaskan bekas Pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad daripada sembilan pertuduhan rasuah.

Dalam petisyen yang difailkan di Mahkamah Persekutuan pada 26 Jun, pihak pendakwaan memohon agar keputusan Mahkamah Tinggi pada 2012 dikembalikan yang mendapati Mohd Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dengan hukuman penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Semakan terhadap sistem e-filing mahkamah menunjukkan pengurusan kes dijadualkan pada Isnin ini.

Dalam petisyen rayuan berkenaan, pihak pendakwaan berhujah bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang apabila membatalkan penemuan Mahkamah Tinggi yang mendapati Mohd Isa telah mengarahkan bekas pegawai khas politiknya Muhammad Zahid Md Arip untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd Ikhwan Zaidel.

Pihak pendakwaan menyatakan mereka telah mengemukakan bukti bahawa selepas dua pertemuan, Mohd Isa secara tidak langsung mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ikhwan dan Muhammad Zahid bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.

Pendakwaan turut menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang apabila mendapati terdapat bukti daripada Ikhwan yang menunjukkan bahawa Mohd Isa tidak pernah meminta habuan daripada beliau dalam dua pertemuan di pejabatnya.

“Para Hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mereka mencampuri penemuan fakta yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi bahawa Mohd Isa telah mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta dan menerima rasuah secara tidak langsung daripada Ikhwan apabila responden (Mohd Isa) menyatakan ‘Kalau diorang bagi apa-apa nanti kau ambil lah’ kepada Muhammad Zahid,” menurut petisyen itu.

Pendakwaan memaklumkan Muhammad Zahid yang merupakan antara saksi pihak pendakwaan memahami kata-kata berkenaan sebagai maksud bahawa apa sahaja yang diberikan oleh Ikhwan perlu diterima bagi pihak Mohd Isa.

Selain itu, Mahkamah Rayuan didakwa terkhilaf membuat penemuan yang bertentangan, iaitu kenyataan berkenaan tidak boleh ditafsirkan secara literal sebagai permintaan khusus atau arahan bagi Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ikhwan.

Pendakwaan turut berhujah bahawa penemuan fakta oleh Mahkamah Rayuan adalah tidak selari dengan penemuan fakta oleh Mahkamah Tinggi yang berdasarkan kepada keterangan menerusi Muhammad Zahid dan Ikhwan, kedua-duanya diiktiraf sebagai saksi yang boleh dipercayai.

Mengikut pihak pendakwaan, keterangan Muhammad Zahid berhubung kata-kata berkenaan mempunyai asas fakta susulan satu lagi pertemuan antara Mohd Isa dan Ikhwan, dengan Ikhwan menyatakan rasa terima kasih kerana kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Menurut pendakwaan Mohd Isa turut memberitahu Muhammad Zahid bahawa Ikhwan memaklumkan yang dia (Ikhwan) boleh membantu Parti Bumiputera Bersatu Sarawak.

Pendakwaan menyatakan kenyataan itu merupakan arahan khusus daripada Mohd Isa kepada Muhammad Zahid untuk meminta serta menerima rasuah bagi pihaknya daripada Ikhwan.

Pada 6 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim, Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutuan) dan S.M. Komathy Suppiah telah melepas dan membebaskan Mohd Isa selepas membenarkan rayuannya.

Panel hakim itu telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 3 Feb 2021 yang mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah yang didakwa dilakukan di tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No. 11 Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Dis 2015.

Pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac tahun lepas.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa pada 2018 dengan sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan menerusi Muhammad Zahid sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada harga RM160 juta.

Pertuduhan berkenaan dibuat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama

Berita berkaitan
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
10 jam lalu· Politik
Tin makanan jadi helah seludup syabu bernilai RM3 juta, lima ditahan
20 jam lalu· Isu semasa
Isu PRN Melaka: MP DAP dan Akmal bertikam lidah
21 jam lalu· Politik
Bekas pengarah penyelidikan IPTA ditahan kes rasuah RM1 juta: Laporan
April 15, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Pelaburan RM2 bilion perkasa usahawan bumiputera: Anwar
10 jam lalu · Isu semasa
Seorang didakwa, lima dikompaun kes berita palsu isu minyak: MCMC
10 jam lalu · Isu semasa
Harga beras Asia naik mendadak ekoran krisis Asia Barat
20 jam lalu · Isu semasa
Dron AS bernilai AS$238 juta hilang semasa operasi di Iran: Laporan
20 jam lalu · Isu semasa
Keperluan bahan api dalam negara diutamakan sebelum bekal kepada Australia: PMX
20 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
February 13, 2026
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan
February 13, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok