Bencana banjir di China dan Nepal.
Jumlah rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dihubungi di China kekal 36 orang, manakala 55 lagi berada di Nepal, menurut Kementerian Luar.
Kementerian Luar atau Wisma Putra dalam kenyataan hari ini menjelaskan tiga rakyat Malaysia yang dilaporkan antara warga asing belum dapat dikesan susulan kejadian gelongsoran lumpur di Pelabuhan Gyirong, Xizang, China pada 26 Ogos lalu, sebenarnya sudah termasuk dalam jumlah 36 orang itu.
“Kementerian mengesahkan tiga rakyat Malaysia berkenaan telah pun termasuk dalam 36 rakyat Malaysia yang kini dilaporkan tidak dapat dihubungi di China dan bukan merupakan kes tambahan.
“Justeru, angka semasa kekal 36 rakyat Malaysia di China dan 55 rakyat Malaysia di Nepal,” menurut kenyataan itu.
Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Kathmandu kini terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengesan lokasi serta memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
Usaha semakan silang maklumat antara kedua-dua negara turut dilakukan bagi mengelakkan sebarang pertindihan atau pengiraan berganda.
Di Nepal, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sejak beberapa hari lalu turut memberikan bantuan konsular kepada anggota keluarga rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dihubungi dan mereka yang berada di ibu negara itu.
Bantuan meliputi penyampaian perkembangan terkini mengenai situasi semasa, panduan prosedur tempatan serta penyelarasan dengan pihak berkuasa Nepal.
Kedutaan juga bersedia mengiringi anggota keluarga ke kemudahan berkaitan di Kathmandu, jika diperlukan.
Wisma Putra berkata anggota keluarga dinasihatkan mematuhi semua arahan keselamatan dikeluarkan pihak berkuasa Nepal.
Pada masa sama, kedutaan Malaysia di Kathmandu dan Beijing terus berhubung dengan pihak berkuasa masing-masing bagi mendapatkan akses ke kawasan yang lebih hampir dengan lokasi terjejas.
“Sebarang pergerakan pegawai Malaysia ke kawasan berkenaan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta keadaan keselamatan dan akses semasa di lapangan,” menurut kenyataan itu.
Sebagai langkah penyelarasan, Bilik Gerakan Kementerian Luar di Putrajaya terus beroperasi 24 jam bagi menguruskan maklumat serta membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan anggota keluarga mereka.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan di talian +603 8887 4570 atau melalui e-mel [dutyofficer@kln.gov.my](mailto:dutyofficer@kln.gov.my).
Kementerian turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan ketika usaha mencari dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia masih dijalankan.
Perkembangan terkini akan disampaikan berdasarkan maklumat yang telah disahkan melalui saluran rasmi.
Anwar, Zahid santuni rakyat semasa sambutan Hari Kebangsaan
Agong, Raja Permaisuri ucap Selamat Hari Kebangsaan ke-69
PMKS berpendapatan bawah RM3 juta kini tak wajib e-Invois
MCMC: Tambahan peruntukan akan lonjak pendigitalan kesihatan awam
Kuota BUDI95 kembali 300 liter mulai 1 September
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri