Banjir Nepal: 55 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi

August 29, 2026 · Isu semasa

​55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dahsyat dan tanah runtuh di Daerah Rasuwa, Nepal, Rabu lepas, menurut Kementerian Luar.

“Dua rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan tidak dapat dihubungi telah berjaya dihubungi dan pengesahan bagi kes-kes selebihnya sedang dijalankan,” menurut kementerian itu yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra, dalam kenyataan terkini mengenai situasi di Nepal dan kawasan sekitarnya.

Menurut Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Kathmandu terus bekerjasama dengan Pasukan Tindakan Kecemasan Kementerian Luar Nepal, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta pihak berkuasa tempatan berkaitan.

“Operasi mencari dan menyelamat di Nepal masih diteruskan manakala pihak berkuasa turut memantau risiko kepala air dari Wilayah Autonomi Tibet, China,” katanya.

Setakat 5 petang waktu Nepal (7.15 malam waktu tempatan) 28 Ogos 2026, Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal melaporkan 771 orang telah diselamatkan, termasuk 116 warga asing.

“Berdasarkan senarai rasmi yang diperoleh setakat ini, tiada rakyat Malaysia dikenal pasti dalam kalangan warga asing yang diselamatkan,” kata Wisma Putra.

Wisma Putra memaklumkan pihaknya telah memperluas tindakan konsular bagi merangkumi rakyat Malaysia yang terkandas di China susulan gangguan perjalanan akibat bencana di Nepal itu.

“Sekumpulan 72 rakyat Malaysia di Darchen, China, disahkan selamat dan berada dalam keadaan baik,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Malaysia di Beijing sedang berhubung dengan kumpulan tersebut, dan ahli keluarga juga telah dimaklumkan mengenai keadaan mereka.

“Kedutaan sedang memberikan bantuan konsular, termasuk sokongan bagi urusan perjalanan mereka untuk keluar dari Wilayah Autonomi Tibet, China,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, kementerian itu memaklumkan pihaknya telah menerima maklumat daripada pihak berkuasa China dan ahli keluarga mengenai 36 rakyat Malaysia yang dilaporkan tidak dapat dihubungi di kawasan yang terjejas akibat gangguan telekomunikasi.

“Kementerian sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa China dan ahli keluarga untuk mewujudkan hubungan dengan individu terbabit.

“Maklumat tersebut juga sedang disemak silang dengan laporan mengenai rakyat Malaysia di Nepal bagi mengenal pasti sebarang pertindihan sementara proses pengesahan dijalankan,” katanya.

Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya beroperasi 24 jam sejak Khamis bagi menyelaraskan maklumat serta membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan keluarga mereka.

Rakyat Malaysia di kawasan terjejas, serta ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan, boleh menghubungi kementerian melalui saluran berikut:

BILIK OPERASI KEMENTERIAN LUAR

Nombor telefon: +603 8887 4570

E-mel: dutyofficer@kln.gov.my

Kementerian menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sah sementara usaha untuk memastikan keselamatan dan mengesan kedudukan rakyat Malaysia terbabit sedang dijalankan.

“Maklumat terkini akan diberikan berdasarkan maklumat sahih yang diterima melalui saluran rasmi,” kata kementerian itu, sambil menambah pihaknya terus memantau perkembangan situasi dengan teliti. – Bernama

Berita berkaitan
Pasport Malaysia naik ke tangga kedua dunia
September 28, 2026· Isu semasa
Anwar sampaikan keresahan keluarga mangsa masih hilang kepada PM Nepal: Bernama
September 22, 2026· Isu semasa
Sita kargo Israel, bukti Malaysia tak berkompromi: Zulkifli
September 18, 2026· Isu semasa
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
September 5, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
MCMC siasat individu didakwa persenda perkataan dalam al-Quran
4 jam lalu · Isu semasa
Pemuda Melayu didakwa terlibat ritual bukan Islam disiasat: Zulkifli
9 jam lalu · Isu semasa
Penjimatan negara membolehkan hasil dipulangkan kepada rakyat: Anwar
9 jam lalu · Isu semasa
Anwar hargai bantuan Mesir permudah salur bantuan Malaysia ke Gaza
12 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan tubuh Tabung Pos RM150 juta, beroperasi awal 2027: Fahmi
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok