Saifuddin Nasution Ismail.
Sebanyak 49,000 daripada 55,000 permohonan kewarganegaraan kini sedang dinilai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk diputuskan kelulusan atau penolakannya.
Kesemua baki permohonan, termasuk yang tertunggak sehingga 20 tahun, dijangka diselesaikan menjelang akhir tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, mendedahkan jumlah permohonan yang tertunggak adalah sebanyak 55,000 kes ketika beliau mula memegang jawatan pada Disember 2022.
“Khamis lalu, saya masih lagi menandatangani beberapa keputusan, pegawai maklumkan baki tinggal hanya 6,000 permohonan sahaja. Itu bermakna 49,000 lebih sudah dinilai sama ada diluluskan atau ditolak,” jelas Saifuddin.
Beliau memberikan jaminan tumpuan utama beliau adalah untuk menyelesaikan semua kes tertunggak ini dengan menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas, termasuk menjanjikan penyelesaian dalam tempoh 12 bulan.
Sehingga 30 Jun lalu, KDN sudah meluluskan 17,385 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan. Angka itu mewakili 77.7 peratus daripada 22,735 permohonan yang telah dipertimbangkan, manakala selebihnya ditolak.
“Ini soal pemberian warganegara. Separuh daripada tempoh 12 bulan itu adalah untuk tapisan keselamatan, yang saya tidak boleh percepat atau ‘bypass’ proses itu,” katanya menjelaskan mengenai tempoh proses 12 bulan yang ditetapkan.
Beliau menekankan dengan SOP baharu, pemohon akan dimaklumkan status dari hari pertama, mengelakkan situasi menunggu bertahun-tahun hanya untuk mengetahui permohonan ditolak dan perlu bermula dari awal.
Mengulas mengenai pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan, Saifuddin berkata pelaksanaannya sedang digiatkan dan akan disempurnakan dengan pengemaskinian akta, peraturan, dan borang yang diperlukan.
Mengenai asas kelulusan, beliau menekankan prinsip utama adalah keberadaan di Malaysia.
“Jadi ada asas kita menerima atau menolak sesuatu permohonan kewarganegaraan itu dengan penjelasan,” katanya sambil memberi contoh kes seperti pemalsuan dokumen atau anak yang tidak pernah menjejakkan kaki di Malaysia sebagai antara faktor penolakan.
Jerebu: Agong titah sekolah tutup jika IPU 150 hingga 180
MCMC siasat dakwaan AI hasilkan video seksual libat guru, pelajar
Tiada lesen judi baharu dikeluarkan: MOF
Kandungan palsu berhubung dua kematian pelajar, MCMC ambil tindakan
RM5.2 bilion transaksi SARA direkod setakat September, 8.4 juta penerima
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum