Van polis ditempatkan di kediaman Najib mulai esok

September 20, 2026 · Politik

Sebuah van balai polis bergerak akan ditempatkan di hadapan kediaman bekas Perdana Menteri, Najib Razak di Jalan Langgak Duta, di sini, bermula jam 7 pagi esok.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, penempatan van berkenaan bertujuan memastikan keselamatan dan kelancaran proses pemindahan Najib dari penjara ke kediamannya.

Beliau berkata, van polis itu bukan untuk menjalankan kawalan terhadap Najib sepanjang masa, sebaliknya membantu mengawal keadaan ketika proses pemindahan serta memantau kehadiran pemberita, jiran dan penyokong di sekitar kediaman berkenaan.

“Van bergerak ini bukan untuk tujuan kawalan Najib selama 24 jam. Ia untuk kawalan semasa proses beliau kembali ke rumah dan memantau pemberita, jiran serta penyokong bagi mengelakkan berlaku kekacauan.

“Bukannya untuk tugas kawalan Najib, tetapi untuk kawalan keselamatan semasa proses memindahkan beliau selepas membayar denda nanti, dari penjara ke rumahnya,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3, hari ini.

Anuar berkata, van balai polis bergerak itu sudah ditempatkan di lokasi berkenaan hari ini, namun akan mula beroperasi secara rasmi esok.

Mengenai kediaman yang akan dijadikan lokasi tahanan rumah, beliau berkata, pihaknya setakat ini belum menerima pengesahan rasmi mengenai rumah yang akan digunakan.

Bagaimanapun, katanya, salah satu kediaman rasmi Najib mungkin menjadi lokasi tahanan yang berada di bawah tanggungjawab polis.

“Salah satu rumah rasmi Najib di bawah tanggungjawab saya. Biasanya saya akan meletakkan seorang penyelia bersama dua anggota dan dibantu unit polis peronda (MPV),” katanya.

Pada masa sama, Anuar menjelaskan pengawasan terhadap Najib sepanjang tempoh tahanan rumah adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Penjara, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) berperanan membantu dari aspek keselamatan dan pergerakan.

“Ia terletak di bawah Jabatan Penjara. Pegawai penjara sudah datang membuat penilaian dan pemeriksaan, manakala PDRM hanya memudah cara pergerakan Najib,” katanya.

Tinjauan di kawasan kediaman Najib sehingga jam 11 pagi tadi mendapati sebuah van balai polis bergerak serta dua kenderaan peronda polis berada di luar kediaman berkenaan. Keadaan sekitar dilaporkan tenang.

Pada Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Pengampunan itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat lain yang ditetapkan.

Keputusan berkenaan susulan proses pengampunan terhadap Najib yang sebelum ini menjalani hukuman penjara berkaitan kes SRC International.

Berita berkaitan
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
September 20, 2026· Isu semasa
Najib kekal di Kajang selagi denda RM50 juta belum dibayar
September 20, 2026· Politik
Pengampunan Najib: Loke pilih untuk berundur dari Kabinet
18 jam lalu· Politik
Bila UMNO nak lancar tabung ganti kerugian 1MDB disakau Najib? soal Pemuda Amanah
September 19, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Bersatu tunggu keputusan RoS berhubung aduan PN: Muhyiddin
September 20, 2026 · Politik
Syarat pengampunan Najib perlu dijelaskan kepada rakyat: Bersatu
September 19, 2026 · Politik
Kuasa pengampunan terhadap Najib ikut Perlembagaan: Azalina
September 19, 2026 · Politik
Siasatan 1MDB Najib kekal, SPRM teruskan kes
September 19, 2026 · Politik
Kes Tabung Haji: Azeez, keluarga diminta isytihar harta kepada SPRM
September 19, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok