Najib Razak berdepan saman SRC International.
SRC International Sdn Bhd membantah permohonan Najib Razak untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar AS$1.3 bilion berkaitan kerugian syarikat itu sementara menunggu proses rayuan.
Dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini, peguam SRC, P Gananathan, menegaskan kedudukan Najib sebagai bekas perdana menteri tidak memberi sebarang kelebihan di sisi undang-undang.
“Status Najib sebagai seorang tokoh terkenal tidak memberikan beliau hak untuk memperoleh penangguhan pelaksanaan penghakiman,” katanya di hadapan mahkamah.
Beliau turut menolak alasan pelaksanaan penghakiman itu boleh menjejaskan reputasi dan integriti Najib, sambil menegaskan perkara tersebut bukan faktor istimewa untuk mahkamah mempertimbangkan penangguhan.
Menurut Gananathan, jumlah penghakiman yang besar juga tidak bermakna defendan secara automatik layak mendapat penangguhan pelaksanaan.
Katanya, jika alasan itu diterima, setiap kes melibatkan tuntutan tinggi akan membuka ruang kepada defendan menangguhkan pembayaran hanya dengan memfailkan rayuan.
SRC turut menyangkal dakwaan pihak Najib syarikat itu yang kini dalam proses penggulungan mungkin gagal memulangkan wang sekiranya rayuan berjaya.
Gananathan berkata semua dana yang diterima akan diuruskan melalui Akaun Amanah Kumpulan SRC di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dan tertakluk kepada pengawasan mahkamah.
Terdahulu, peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berhujah risiko sebenar wujud kerana dana yang dibayar mungkin diserap dalam proses penggulungan syarikat dan diagihkan kepada pemiutang lain.
“Sekiranya Najib dipaksa melunaskan penghakiman bernilai berbilion ringgit sekarang, terdapat kemungkinan wang itu tidak dapat dipulangkan semula sekiranya rayuan berjaya,” katanya.
Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin menetapkan 13 Mei ini untuk keputusan permohonan tersebut.
Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Najib bertanggungjawab terhadap kerugian dialami SRC selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan dan menyeleweng dana syarikat bagi kepentingan peribadi.
SRC memfailkan saman itu pada 2021 dengan tuntutan asal AS$1.18 bilion sebelum mahkamah turut mengarahkan Najib memulangkan tambahan AS$120 juta yang didakwa diterima ke akaun peribadinya.
Lima bilik gerakan SPRM beroperasi 24 jam sempena PRN Johor
AMK yakin anak muda nilai berdasarkan prestasi, bukan retorik Rafizi
Onn Hafiz nafi dakwaan Puad, UMNO Johor buat laporan polis
PRN Johor: Agihan kerusi, isu logo BN jadi punca rundingan UMNO-PAS buntu
“Onn Hafiz pak turut, UMNO Johor boneka terikat,” Puad umum keluar UMNO
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar