Parti Bersatu.
Parti Bersatu hari ini mengumumkan tindakan disiplin terhadap empat lagi wakil rakyat dan pemimpin parti itu, termasuk pemecatan serta penggantungan keahlian berkuat kuasa serta-merta.
Antara yang digantung ialah Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar selama dua penggal pemilihan parti.
Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan berkata, kedua-dua mereka didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Dengan penggantungan itu, mereka dilucutkan daripada semua jawatan parti dan tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama Bersatu sehingga tamat tempoh penggantungan,” katanya dalam notis rasmi yang dikeluarkan hari ini.
Muhammad Islahuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima surat penggantungan itu dan memaklumkan beliau tidak bercadang mengemukakan rayuan.
“Saya terima keputusan ini dan tidak akan membuat rayuan,” katanya ringkas.
Dalam perkembangan sama, ADUN Kok Lanas, Mohamaed Farid Mohamed Zawawi pula dipecat daripada parti.
Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan serta Ketua Bahagian Bersatu Ketereh didakwa melakukan pelanggaran sama membabitkan perlembagaan dan kod etika parti.
Turut menerima nasib sama ialah Exco Armada Bersatu, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin yang dipecat keahliannya berkuat kuasa hari ini.
Tindakan terbaharu itu dilihat sebagai kesinambungan tindakan disiplin besar-besaran yang sedang dilakukan Bersatu terhadap beberapa pemimpin dan wakil rakyatnya sejak minggu lalu.
Sebelum ini, beberapa pemimpin termasuk ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis turut dikenakan tindakan disiplin, manakala lima Ahli Parlimen termasuk Rosol Wahid dan Khlir Mohd Nor digantung hak keahlian mereka.
Kemelut dalaman itu dipercayai berkait dengan isu disiplin serta sokongan terhadap kepimpinan parti menjelang persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Rafizi, Nik Nazmi umum langkah politik baharu Ahad ini, tinggalkan PKR?
Isu hina sahabat Nabi, Menteri Agama nasihat ahli politik berhati-hati dalam ceramah
Permohonan pengampunan Jho Low di Amerika akan diteliti kerajaan
Kabinet kecam kenyataan Nik Zawawi hina sahabat Nabi: Fahmi
PRN, PRU serentak lebih jimat wang rakyat: AMK Johor
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil