Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegaskan perbuatan menghina sahabat Nabi Muhammad adalah haram dan tergolong sebagai dosa besar dalam Islam.
Beliau berkata, para sahabat merupakan generasi terbaik yang dipilih Allah SWT untuk mendampingi Rasulullah SAW serta memainkan peranan penting dalam menyebarkan dan mempertahankan agama Islam.
“Mereka ialah generasi terbaik yang dipuji Allah SWT. Menghina sahabat Nabi bererti menghina insan yang menegakkan Islam bersama Rasulullah,” katanya dalam satu kenyataan di hantaran media sosial.
Menurut beliau, Allah SWT sendiri telah memuliakan golongan sahabat menerusi firman-Nya dalam Surah At-Tawbah ayat 100 yang menyebut tentang keredaan Allah terhadap golongan Muhajirin dan Ansar serta mereka yang mengikuti jejak langkah dengan baik.
Kenyataan itu hadir susulan kebimbangan terhadap peningkatan ucapan berbaur penghinaan dan cemuhan terhadap tokoh-tokoh sahabat Nabi di media sosial serta platform digital sejak kebelakangan ini.
Dalam sejarah Islam, para sahabat Nabi bukan sahaja menjadi pendukung utama dakwah Rasulullah, malah mereka juga berkorban harta, tenaga dan nyawa demi mempertahankan agama Islam pada peringkat awal perkembangannya.
Golongan sahabat turut memainkan peranan besar dalam menyampaikan hadis, menjaga al-Quran dan menyebarkan ajaran Islam ke seluruh dunia selepas kewafatan Rasulullah.
Sehubungan itu, Dr. Zulkifli menyeru umat Islam supaya menjaga adab dalam berbicara mengenai para sahabat Nabi dan tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat.
“Umat Islam perlu berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menghormati dan memuliakan seluruh sahabat Rasulullah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh, dalam satu ceramah politik yang didakwa menyentuh sejarah empat sahabat utama Nabi Muhammad SAW terus mengundang kritikan pelbagai pihak.
Tular beberapa video ceramah Nik Zawawi yang menggambarkan kehidupan Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam dengan ungkapan yang dianggap keterlaluan dan tidak beradab.
Antara lain, beliau didakwa menggambarkan Abu Bakar sebagai “bapa ceti” yang menindas orang miskin, manakala Umar pula disebut sebagai seorang yang zalim dan suka berzina sebelum menerima Islam.
Ceramah itu dipercayai disampaikan dalam satu program politik di Kuala Terengganu hujung minggu lalu.
Rafizi, Nik Nazmi umum langkah politik baharu Ahad ini, tinggalkan PKR?
Sanusi masih kekalkan dua ADUN Bersatu dipecat dalam kerajaan negeri
Permohonan pengampunan Jho Low di Amerika akan diteliti kerajaan
PRN, PRU serentak lebih jimat wang rakyat: AMK Johor
Akta Lompat Parti perlu diambil kira sebelum terima bekas pemimpin Bersatu
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil