Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan menilai semula keputusan mengiktiraf sijil Unified Examination Certificate (UEC) untuk kemasukan ke semua program ijazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Presiden parti Bersatu itu menyifatkan keputusan itu dibuat secara tergesa-gesa tanpa penelitian menyeluruh terhadap implikasi jangka panjang kepada sistem pendidikan negara.
Menurut Muhyiddin, sebelum ini pengiktirafan UEC hanya diberikan bagi beberapa kursus tertentu berkaitan Bahasa Cina dan tertakluk kepada syarat calon memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Namun katanya, keputusan baharu kerajaan membuka laluan lebih luas kepada pemegang UEC untuk memasuki IPTA melalui sistem yang tidak dikawal selia kerajaan.
“Dengan pengiktirafan ini, wujud satu lagi saluran kemasukan ke IPTA yang sukatan pelajaran dan peperiksaannya ditadbir sepenuhnya oleh badan bukan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa sehingga kini tiada badan kerajaan menjalankan audit atau penilaian jaminan kualiti terhadap sukatan pelajaran, proses pembelajaran dan sistem peperiksaan UEC.
Katanya, keadaan itu boleh mewujudkan dwi-standard dalam sistem kemasukan pelajar ke IPTA kerana melibatkan dua aliran dengan piawaian berbeza.
Muhyiddin turut mengimbas ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri, satu kajian kementerian mendapati sukatan pelajaran serta peperiksaan UEC tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Saya pernah mencadangkan supaya kajian menyeluruh dibuat terhadap sistem pendidikan persendirian Cina termasuk pentadbiran peperiksaan UEC sebelum kerajaan mempertimbangkan pengiktirafannya, namun cadangan itu tidak dipersetujui,” katanya.
UEC merupakan sijil peperiksaan sekolah menengah persendirian Cina yang dikendalikan oleh Dong Zong dan sekian lama menjadi perdebatan dalam landskap politik serta pendidikan negara.
Isu pengiktirafannya sering mencetuskan perbezaan pandangan antara parti politik dan pertubuhan pendidikan.
Muhyiddin turut mendakwa keputusan kerajaan Madani itu mempunyai unsur politik bagi memastikan sokongan berterusan DAP terhadap kerajaan perpaduan.
Beliau bagaimanapun menegaskan sebarang dasar pendidikan tidak boleh diputuskan atas pertimbangan politik semata-mata.
“Pendidikan bukan sekadar melahirkan modal insan, tetapi alat penting pembinaan dan penyatuan negara bangsa,” katanya.
Rafizi pilih haluan baharu, Saifuddin Nasution ucap “selamat maju jaya”
Malaysia tidak campur tangan isu pengampunan Jho Low di AS: Anwar
Nik Zawawi beri keterangan kepada polis berhubung isu hina sahabat Nabi
DAP gesa bantah pengampunan Jho Low
Fokus bantu rakyat, bukan berebut kuasa: PMX
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil