Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan usaha membuka laluan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi lepasan tahfiz tidak mempunyai kaitan dengan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman berkata langkah itu dibuat bagi memberi peluang lebih luas kepada pelajar aliran agama melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, khususnya mereka daripada sekolah pondok dan institusi agama yang tidak berada di bawah sistem formal.
Menurut beliau, kerajaan melihat semakin ramai pelajar aliran agama berminat menyambung pengajian, namun sebahagian besar masih berdepan kekangan akses ke universiti awam.
“Kerajaan mahu memberi peluang dan laluan kepada golongan ini untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata, sekolah agama di bawah sistem Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempunyai silibus yang lebih tersusun, namun masih terdapat hampir 50,000 pelajar daripada sekolah pondok dan sekolah agama lain yang tidak berada dalam sistem berkenaan.
Tambahnya, pendekatan lebih inklusif itu selari dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 yang memberi penekanan terhadap akses pendidikan lebih menyeluruh kepada semua kelompok masyarakat.
Dalam perkembangan sama, Azlinda turut menjelaskan syarat kemasukan ke IPTA bagi lepasan sekolah persendirian Cina dan aliran berkaitan masih belum dimuktamadkan.
Beliau menolak dakwaan Dong Zong bahawa syarat kemasukan yang bakal dikenakan terlalu tinggi, sambil menegaskan kementerian belum mengeluarkan iklan rasmi permohonan.
“Syarat lengkap hanya akan diumumkan apabila permohonan dibuka nanti. Setiap universiti mempunyai standard akademik tersendiri dan perkara itu diputuskan oleh senat universiti,” katanya.
Menurut beliau, senat universiti merupakan badan tertinggi yang menentukan aspek kualiti dan standard akademik, justeru perkara berkaitan syarat kemasukan tidak boleh dikompromi atau dipengaruhi mana-mana pihak.
Isu kemasukan lepasan UEC ke IPTA sering menjadi perdebatan sejak sekian lama kerana melibatkan soal standard akademik dan dasar pendidikan negara. Dalam masa sama, kerajaan juga dilihat cuba memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelbagai aliran termasuk pendidikan agama dan teknikal.
Permohonan kemasukan ke IPTA dijangka dibuka pada 30 Jun ini.
Ringgit mengukuh selepas data ekonomi rekod pertumbuhan 5.4 peratus
Dua warga emas di Pulau Pinang rugi RM2.7 juta ditipu skim pelaburan palsu
Ekonomi negara mengukuh, rekod 5.4 peratus pertumbuhan pada suku pertama: Gabenor
Subsidi BUDI95 kekal, bantu rakyat hadapi kos sara hidup: Saifuddin Nasution
Ekonomi malaysia dijangka terus kukuh tahun depan: Bank Dunia
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil