Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah mempertimbangkan sebarang cadangan untuk memberikan pengampunan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Perdana Menteri, kenyataannya sebelum ini berhubung isu pengampunan Jho Low “tidak berbangkit” telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak.
“Saya kata ia tidak berbangkit sebab kita langsung tidak mempertimbangkannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Perak di Meru, hari ini.
Anwar berkata, sebarang permohonan pengampunan melibatkan Jho Low tidak akan diberi perhatian memandangkan individu terbabit dikaitkan dengan dakwaan salah laku kewangan dan kerugian besar kepada negara.
“Dia terlibat dalam salah laku, jenayah dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara. Jadi jika dia mahu memohon pengampunan, perkara itu memang tidak dipertimbangkan,” katanya.
Jho Low menjadi antara individu paling dikehendaki pihak berkuasa antarabangsa selepas dikaitkan dengan skandal 1MDB yang mencetuskan perhatian global lebih sedekad lalu.
Ahli perniagaan itu didakwa memainkan peranan utama dalam penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara tersebut yang menyebabkan kerugian berbilion dolar.
Kes 1MDB turut mencetuskan siasatan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura, selain menyaksikan rampasan aset mewah serta tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak yang dikaitkan dengan dana berkenaan.
Sehingga kini, lokasi sebenar Jho Low masih tidak diketahui walaupun pelbagai usaha mengesannya dilakukan pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa.
MB Johor umum BN bertanding semua kerusi DUN Johor
BN boleh uji kekuatan bertanding solo pada PRN Johor: Khairy
Samsuri dilantik Ketua Pembangkang baharu, ganti Hamzah yang dipecat
NGO desak Rafizi jawab isu dakwaan dana asing
Muhyiddin persoal pengiktirafan UEC bagi kemasukan ke IPTA
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil