Pendidikan jadi teras fokus kerajaan, peruntukan akan ditambah: Anwar

May 16, 2026 · Isu semasa

Kerajaan memberi bayangan peruntukan untuk sektor pendidikan akan terus ditingkatkan dalam Belanjawan akan datang bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal relevan dengan perkembangan teknologi semasa.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan itu penting bagi memperkukuh pendidikan terutama dalam bidang digital, kecerdasan buatan (AI) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan serta Matematik (STEM) yang kini menjadi keperluan utama negara.

Menurut beliau, perbincangan bersama Kementerian Kewangan sudah dilakukan bagi meneliti keperluan tambahan untuk Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kerajaan memberikan penumpuan besar dalam bidang pendidikan. Ada beberapa keperluan yang kita akan nilai semula supaya dalam Belanjawan nanti, kita dapat tingkatkan lagi perbelanjaan dan kelulusan untuk KPM,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Guru Kebangsaan Ke-55 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Dalam usaha menjaga kebajikan guru, Anwar turut mengumumkan tambahan RM100 juta untuk menaik taraf kira-kira 7,000 bilik guru di seluruh negara.

Selain itu, RM50 juta lagi diperuntukkan bagi penyelenggaraan 8,700 unit kuarters guru.

Pendidikan kekal menjadi antara sektor terbesar menerima peruntukan tahunan kerajaan sejak beberapa tahun lalu, selari dengan usaha meningkatkan kualiti modal insan dan kesiapsiagaan generasi muda menghadapi ekonomi digital.

Pada majlis sama, Anwar turut memuji kejayaan guru dan sekolah luar bandar yang berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Beliau memberi contoh guru dari SK Long Sebangang di Lawas, Sarawak yang tersenarai dalam kelompok 50 terbaik Global Teacher Prize 2025 serta kejayaan seorang guru dari SK Bingkor, Keningau, Sabah yang memperkenalkan pendekatan inovatif Neuro Arts.

Anwar turut berkongsi pengalaman melawat SMK Banggi di Kudat, Sabah yang berjaya memanfaatkan teknologi digital menerusi inisiatif NADI sehingga menerima pengiktirafan International Telecommunication Union (ITU) di Geneva, Switzerland.

“Tidak berbanggakah kita. Sekolah-sekolah di kawasan terpencil begitu boleh mendapat pengiktirafan dunia,” katanya.

Beliau pada masa sama mengingatkan guru supaya terus memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris, Matematik dan Sains demi memastikan sistem pendidikan negara mampu bersaing di peringkat global.

Berita berkaitan
PMX arah isu e-dagang ditangani segera
8 jam lalu· Isu semasa
Tiada syarat khusus untuk Ahli Parlimen meterai CSA : PMX
9 jam lalu· Politik
Dana Inovasi Media 2.0 diteruskan, lima skop pembiayaan ditawar: Fahmi
10 jam lalu· Isu semasa
CSA bukan tanda Bersatu sertai kerajaan, kekal pembangkang: Tun Faisal
10 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
10 jam lalu · Isu semasa
MAPIM gesa tindakan tegas terhadap kempen kebencian susulan serangan di Kulai
10 jam lalu · Isu semasa
MCMC menang tuntutan RM15.32 juta terhadap MajuBina
10 jam lalu · Isu semasa
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
15 jam lalu · Isu semasa
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
October 29, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok