Kes mahkamah.
Mahkamah Sesyen Kangar hari ini melepaskan dan membebaskan anak bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Syafeeq Mohd Shukri, daripada pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM19,000 selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas meneliti keterangan saksi dan bahan bukti yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.
Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah mendapati terdapat kelemahan dari sudut keterangan saksi serta isu berkaitan status tertuduh sebagai ejen dalam kes berkenaan.
“Setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh,” katanya ketika membacakan keputusan.
Susulan itu, Mohd Syafeeq, 37, dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri, manakala wang jaminannya turut diperintahkan dikembalikan.
Peguam bela tertuduh, Mohd Fadhly Yaacob berkata keputusan tersebut menamatkan perjuangan anak guamnya selama hampir dua tahun untuk membersihkan nama beliau dan keluarga.
“Pembebasan ini memberi keadilan kepada Syafeeq dan sekali gus membersihkan nama keluarganya yang sebelum ini terpalit dengan pertuduhan berkenaan,” katanya dipetik laporan berita.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Fariz Abdul Hamid memaklumkan pihak pendakwaan akan memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari.
Sebelum ini, Mohd Syafeeq didakwa mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan Pesanan Bekalan Perkhidmatan Kerajaan Negeri Perlis bagi memperdayakan tuntutan berjumlah RM19,505.10.
Kes itu mendapat perhatian kerana tertuduh merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, selain berlaku ketika isu integriti dan ketelusan pengurusan kerajaan negeri menjadi tumpuan di Perlis.
MCMC ambil tindakan terhadap TikTok, gagal tangani akaun palsu Institusi Diraja
Jangan buat pembelian panik, bekalan asas negara masih stabil: Fahmi
Malaysia cipta rekod RM1 trilion dagangan untuk empat bulan pertama
Tiada unsur jenayah dalam insiden pegawai JSJ maut jatuh apartmen: Polis Selangor
Sultan Selangor bertitah perpaduan Melayu bukan ancaman terhadap kaum lain
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi