Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keputusan mengambil alih Parti Bersama Malaysia.
Parti Bersama mendakwa menerima minat daripada beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan UMNO yang dikatakan mahu menyertai perjuangan parti itu bersama Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi berkata, pihaknya memang menerima “risikan” daripada beberapa ahli Parlimen yang bertanyakan mengenai hala tuju dan perjuangan Bersama, namun mereka dinasihatkan supaya tidak terburu-buru membuat keputusan ketika ini.
“Kita ada terima pertanyaan daripada wakil rakyat PH dan parti lain yang menyatakan minat untuk bersama BERSAMA, tetapi buat masa ini kita minta mereka kekal dahulu,” katanya dipetik laporan media.
Menurut beliau, soal masa dan kestabilan politik kerajaan perlu dipertimbangkan sebelum sebarang langkah besar diambil.
“Banyak perkara perlu difikirkan termasuk aspek kestabilan kerajaan. Bukan hanya beberapa ahli Parlimen PKR sahaja, malah ada juga daripada PH dan parti lain yang bertanya,” katanya.
Bersama kembali menjadi perhatian selepas Rafizi dan Nik Nazmi mengambil alih kepimpinan parti itu pada 17 Mei lalu.
Langkah itu mengejutkan landskap politik negara apabila kedua-dua pemimpin berkenaan mengumumkan pengosongan kerusi Parlimen masing-masing sehari kemudian.
Ketika pengumuman pengambilalihan parti dibuat, lima ahli Parlimen PKR turut hadir memberikan sokongan iaitu Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Wong Chen, Rodziah Ismail, M Kesavan dan Zahir Hassan.
Kehadiran mereka mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan berlaku perubahan sokongan dalam kalangan wakil rakyat PKR.
Nik Nazmi berkata, beliau dan Rafizi memilih untuk bergerak lebih awal bagi membina kekuatan parti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang walaupun terpaksa mengorbankan kedudukan masing-masing di Parlimen.
Dalam perkembangan sama, beliau mendakwa Bersama menerima sambutan memberangsangkan sejak perubahan kepimpinan parti itu diumumkan.
Katanya, daripada kira-kira 20,000 ahli baharu yang menyertai Bersama, sebanyak 46 peratus terdiri daripada pengundi atas pagar atau mereka yang pertama kali menyertai parti politik.
“Ini menunjukkan ramai rakyat sedang mencari pilihan baharu kerana mereka sudah tidak lagi melihat parti sedia ada mampu mewakili aspirasi mereka,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 29 peratus ahli baharu datang daripada PKR, manakala selebihnya terdiri daripada bekas ahli UMNO, PAS, Amanah, Bersatu, MUDA dan DAP.
Dari segi komposisi kaum pula, katanya, majoriti keahlian baharu adalah Melayu dengan 62 peratus, diikuti India sebanyak 16 peratus dan Cina 15 peratus.
Mukhriz nafi Hamzah sertai Pejuang
Fadhli cadang PAS berpisah dalam PN, dakwa Bersatu sudah lemah
Hamzah nak letak jawatan pun takut… Kini nak umum parti baharu pula?
Radzi bidas fitnah disebar dakwa Bersatu akan bersama PH
Akmal tempelak DAPSY desak bubar Parlimen bagi buat PRU awal
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi