Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli kekal meneruskan saman terhadap pempengaruh media sosial, Caprice atau nama sebenar, Ariz Ramli susulan dakwaan mengaitkannya dengan penerimaan rasuah dalam satu projek swasta.
Rafizi berkata, tindakan undang-undang itu sudah lama difailkan dan kini masih berjalan di mahkamah, sekali gus menepis dakwaan kononnya beliau tidak berani mengambil tindakan terhadap Caprice.
“Ramai yang mengejek saya konon tak berani saman Caprice. Sebenarnya dah lama saya saman Caprice atas tuduhan itu. Kes sedang berjalan di mahkamah,” katanya dipetik laporan media.
Menurutnya, tindakan saman itu merupakan kali pertama beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan sedemikian sepanjang puluhan tahun berada dalam politik.
“Ini kali pertama saya saman seseorang. Sebelum ini, macam-macam orang fitnah atau tuduh, saya jawab dan saya tak saman. Sebab kebanyakan daripada mereka ini rakyat biasa, saya serahkan kepada Allah,” katanya.
Rafizi berkata, tuduhan dibuat Caprice itu lebih serius kerana beliau didakwa menerima rasuah, sedangkan sepanjang penglibatannya dalam politik, tuduhan sama tidak pernah dilemparkan kepadanya termasuk oleh pihak lawan.
“Berpuluh tahun saya dalam politik, sebenarnya tak pernah ada orang lain, hatta daripada lawan politik seperti UMNO atau PAS yang tuduh saya makan rasuah.
“Jadi saya terpaksa saman untuk kali pertama dalam hidup saya. Sekarang kita serahkan kepada peguam-peguam dan proses mahkamah,” katanya.
Pada Februari lalu, Caprice didakwa membangkitkan dakwaan berkaitan satu projek swasta yang dikaitkan dengan Rafizi, sebelum turut mengumumkan tindakan undang-undang terhadap bekas Ahli Parlimen Pandan itu.
Rafizi bagaimanapun menegaskan projek berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan dirinya atau kementerian yang pernah diterajuinya.
Beliau turut menjelaskan kandungan yang diterbitkan Caprice disifatkan sebagai tuduhan kononnya beliau mempunyai kepentingan atau menerima manfaat melalui syarikat miliknya, Invoke Solutions Sdn Bhd.
Dalam perkembangan berkaitan, Caprice sebelum ini dilaporkan kalah dalam saman fitnah yang difailkan pendakwah, Ebit Liew.
Kes saman Rafizi terhadap Caprice kini masih dalam proses mahkamah dan sebarang keputusan akan ditentukan menerusi prosiding undang-undang.
Zahid mahu jadi PM? Selesaikan dulu isu integriti – AMK
PAS tak perlu diuji, Sanusi bidas cadangan UMNO supaya lepaskan kerusi
Puad: Zahid mahu PRU-16 dipercepat kerana mahu jadi PM
Parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu hormati mandat diberi rakyat: Azman Abidin
Jangan jadi ‘imigresen’ syurga, Islam bukan milik PAS: Amanah Selangor
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum