Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi Awang mengesahkan beberapa pemimpin parti itu dan UMNO mengadakan pertemuan pada malam Khamis ketika cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) kembali menjadi perhatian dalam arena politik negara.
Bagaimanapun, Presiden PAS itu tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai lokasi serta tujuan pertemuan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu pertemuan biasa antara pemimpin politik.
“Yang nak jumpa kita jumpa. Saya tidak terlibat tetapi (pertemuan) dimaklumkan kepada saya,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila hari ini.
Kenyataan itu hadir selepas tular di media sosial sekeping gambar yang memaparkan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, tiba di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang dipercayai menjadi lokasi Mesyuarat Biro Politik UMNO pada malam sebelumnya.
Perkembangan itu mencetuskan spekulasi pemimpin kedua-dua parti mengadakan perbincangan berkaitan usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional atau MN 2.0, sebuah kerjasama politik yang pernah menghimpunkan PAS dan UMNO sebelum ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan menyuarakan pandangan kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti-parti Melayu wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa, ummah serta kestabilan politik negara.
Menurut beliau, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dijangka diikuti beberapa negeri lain berpotensi membuka ruang kepada perubahan dalam landskap politik tanah air.
Situasi itu, katanya, boleh menjadi pemangkin kepada penyatuan semula kekuatan politik Melayu-Islam dan Bumiputera.
Muafakat Nasional ditubuhkan pada 2019 sebagai platform kerjasama rasmi antara PAS dan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.
Gabungan itu pernah dilihat berjaya menyatukan sokongan pengundi Melayu dan mencatat beberapa kemenangan dalam pilihan raya kecil.
Namun, hubungan kedua-dua parti mula renggang selepas perubahan landskap politik nasional serta pembentukan kerjasama baharu melibatkan pelbagai parti.
Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai agenda pertemuan terbaru itu, perkembangan berkenaan terus menarik perhatian pemerhati politik yang melihat kemungkinan berlakunya penyusunan semula kerjasama antara PAS dan UMNO menjelang sebarang pilihan raya pada masa hadapan.
Marzuki: Keahlian Bersatu masih sah dalam PN
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
UMNO akan hantar wakil ke Muktamar PAS: Zahid
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri