Mahfuz Omar.
Parti Amanah mempersoalkan pendirian UMNO Johor yang menolak kerjasama dengan DAP walaupun kedua-dua parti berada dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata, langkah Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi yang mengkritik DAP secara terbuka dan membuat pendirian enggan bekerjasama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Mahfuz berkata, rakyat sukar memahami mengapa pemimpin UMNO boleh bekerjasama dengan DAP di Putrajaya, namun pada masa sama menolak hubungan politik yang sama di Johor.
“Kalau benar begitu jijik untuk duduk semeja dengan DAP di Johor, mengapa pemimpin UMNO masih terus duduk semeja bersama pemimpin DAP dalam Kabinet Persekutuan setiap minggu?
“Bukankah Presiden UMNO merupakan Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan yang turut dianggotai DAP? Bukankah Kerajaan Perpaduan hari ini dipimpin oleh Anwar Ibrahim dengan penyertaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan percanggahan pendirian yang sukar diterima rakyat apabila kerajaan di Putrajaya menekankan agenda perpaduan dan kestabilan, tetapi di Johor masih wujud naratif permusuhan terhadap rakan dalam kerajaan.
Menurutnya, pendekatan sedemikian menggambarkan UMNO masih berdepan krisis dalaman dan tekanan untuk kembali kepada politik lama yang berasaskan sentimen kaum serta ketakutan bagi meraih sokongan pengundi Melayu.
“Politik dua wajah seperti ini bukan tanda kekuatan, sebaliknya menunjukkan krisis dalaman yang masih gagal diselesaikan dalam UMNO sendiri,” katanya.
Mahfuz turut berpandangan keutamaan rakyat, khususnya generasi muda, kini jauh berbeza berbanding naratif politik yang sering dimainkan sebelum ini.
Katanya, golongan muda lebih menumpukan perhatian kepada isu peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, pendidikan, pelaburan dan kos sara hidup berbanding pertelingkahan politik antara parti.
“Anak muda tidak lagi mahu politik yang asyik mencari musuh. Mereka mahu jawapan terhadap cabaran kehidupan yang sedang dihadapi.
“Johor mempunyai potensi besar sebagai hab teknologi, kecerdasan buatan (AI), logistik, ekonomi digital dan pelaburan antarabangsa. Namun negeri ini tidak akan bergerak maju jika politiknya terus terperangkap dalam propaganda lama,” katanya.
Beliau juga menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan tekanan geopolitik sebagai sesuatu yang mengecewakan.
Menurutnya, ketika kerajaan sedang berusaha memperkukuh ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat, Johor sekali lagi dibawa ke medan persaingan politik menerusi pilihan raya negeri.
“PRN Johor kali ini bukan sekadar soal siapa paling kuat menjerit di pentas politik. Ia adalah pertarungan antara politik masa depan dengan politik lama yang masih hidup atas sentimen dan ketakutan,” katanya.
Pada Ahad, media melaporkan Onn Hafiz menolak kemungkinan kerjasama antara BN, khususnya UMNO, dengan DAP di Johor dan menegaskan beliau sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya keadaan itu berlaku selepas PRN.
SPR tetapkan tarikh penting PRN Negeri Sembilan Jumaat ini
UMNO Johor tidak lagi boleh tuntut kredit hasil pembangunan sendiri: DAPSY
PAS didakwa tekan Bersatu terima parti Hamzah, siap hantar surat bersyarat ‘ugutan’
Jangan tutup pintu kerjasama politik, UMNO jangan bakar jambatan: Amanah
Pemuda UMNO Johor balas sindiran Loke berhubung isu kerjasama dengan DAP
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi