Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros.
Pemuda UMNO Johor mempertahankan pendirian Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan tidak akan bekerjasama atau duduk semeja dengan DAP atas faktor perbezaan ideologi politik.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata pendirian tersebut tidak berasaskan sentimen perkauman seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya berpunca daripada perbezaan prinsip, nilai dan hala tuju politik antara UMNO serta Barisan Nasional (BN) dengan DAP.
Menurut beliau, perbezaan ideologi merupakan perkara biasa dalam politik dan tidak seharusnya disalah tafsir sebagai sikap perkauman.
“Adalah sesuatu yang lazim dalam politik apabila parti-parti yang mempunyai ideologi berbeza memilih untuk tidak menjalinkan kerjasama. Tidak ada asas untuk melabelkan pendirian itu sebagai perkauman.
“Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya disamakan dengan sentimen perkauman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Azleen turut mendakwa perbezaan antara UMNO dan DAP masih jelas, termasuk pendirian DAP yang menurutnya terus berpegang kepada konsep Malaysian Malaysia yang dianggap tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang selama ini dipertahankan UMNO dan BN.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang sebelum ini membandingkan isu tersebut dengan kehadiran pemimpin UMNO dan DAP dalam Mesyuarat Jemaah Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Mengulas perkara itu, Noor Azleen menegaskan perbandingan yang dibuat Anthony tidak tepat kerana melibatkan dua perkara yang berbeza, iaitu tanggungjawab pentadbiran negara dan pilihan kerjasama politik.
“Anthony Loke keliru dalam membezakan antara tanggungjawab kepada negara dan pilihan kerjasama politik.
“Dalam melaksanakan amanah kepada negara, seseorang pemimpin tidak boleh memilih siapa yang berada dalam mesyuarat atau duduk semeja dengannya,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri adalah atas kapasiti rasmi sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan bukannya berdasarkan pilihan politik peribadi.
Katanya, dalam konteks pentadbiran negara, semua anggota kerajaan perlu menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan tanpa mengira perbezaan parti politik.
“Sebaliknya, dalam soal kerjasama politik, setiap parti mempunyai hak untuk menentukan pendirian dan memilih rakan kerjasama berdasarkan prinsip, ideologi serta nilai perjuangan masing-masing,” ujarnya.
Isu berkenaan tercetus selepas kenyataan Onn Hafiz yang menolak kemungkinan bekerjasama dengan DAP di Johor mengundang pelbagai reaksi.
PAS berjaya ‘gamekan’ Muhyiddin: Bermula dengan krisis Hamzah hingga ke perceraian
Jangan tutup pintu kerjasama politik, UMNO jangan bakar jambatan: Amanah
Parti Amanah persoal sikap UMNO Johor terhadap DAP
Syam Ghaz dilantik sebagai bos baharu JKOM, ganti Ismail Yusop
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi