Dr Marzuki Mohamad (Kiri).
Penasihat Politik kepada Presiden Bersatu, Dr Marzuki Mohamad menegaskan sebarang usaha untuk membolehkan satu parti menguasai atau menentukan hala tuju Perikatan Nasional (PN) secara bersendirian adalah bertentangan dengan Perlembagaan gabungan tersebut.
Menurut beliau, Perlembagaan PN menetapkan keputusan penting termasuk berkaitan disiplin parti anggota dan pembahagian kerusi pilihan raya mesti diputuskan secara konsensus oleh Majlis Presiden yang dianggotai semua presiden parti komponen.
“Keputusan Majlis Presiden hendaklah dibuat secara sebulat suara. Jika seorang Presiden tidak setuju, tiada tindakan boleh diambil,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Marzuki berkata, berdasarkan Fasal 7A Perlembagaan PN, Majlis Presiden mempunyai kuasa muktamad dalam perkara melibatkan disiplin parti anggota dan ketetapan kerusi yang dirujuk oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi.
Beliau turut menjelaskan walaupun Fasal 15 memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi PN untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana parti anggota, tindakan tersebut masih tertakluk kepada keputusan Majlis Presiden.
“Tindakan disiplin di bawah Fasal 15 hanya boleh diambil jika parti anggota mengambil tindakan yang bertentangan dengan kepentingan Perikatan Nasional, bukan kepentingan mana-mana parti tertentu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada mana-mana parti anggota boleh disingkirkan daripada PN sesuka hati tanpa melalui proses yang diperuntukkan dalam perlembagaan gabungan berkenaan.
Marzuki juga menolak dakwaan Pengerusi PN mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan agihan kerusi pilihan raya atau mengeluarkan watikah calon.
“Tidak ada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memberikan kuasa mutlak kepada Pengerusi PN untuk membuat ketetapan kerusi pilihan raya dan memberikan watikah calon.
“Jadi, Bersatu tidak boleh dipecat dari PN sewenang-wenangnya. Pengerusi PN juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memberikan watikah calon sesuka hati,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Marzuki turut mengkritik kepimpinan PAS dengan mengaitkan presidennya kepada kumpulan yang sebelum ini didakwa cuba menggugat kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu.
Beliau mendakwa kumpulan yang dikaitkan dengan Hamzah Zainudin pernah menggerakkan kempen mengumpul tandatangan ketua-ketua bahagian Bersatu bagi mendesak Muhyiddin berundur menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025.
“Tanpa galakan dan sokongan Presiden PAS, Hamzah dan kumpulannya tidak akan pergi sejauh itu untuk menjatuhkan Muhyiddin. Huru-hara Bersatu dibuatnya,” dakwanya.
Marzuki turut mendakwa kegagalan usaha tersebut menyebabkan PAS mempertahankan Hamzah apabila dikenakan tindakan disiplin oleh Bersatu, selain mendakwa beberapa keputusan Majlis Tertinggi PN kemudiannya tidak dihormati.
Bersatu kekal bertanding guna logo PN dalam PRN Johor, Negeri Sembilan: Muhyiddin
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
BN hampir selesai rundingan kerusi, fokus kempen berteraskan dasar: Asyraf Wajdi
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar