Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi.
Barisan Nasional (BN) dijangka memuktamadkan rundingan agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan minggu depan, sekali gus memberi isyarat bahawa persiapan gabungan itu kini berada di fasa akhir menjelang pilihan raya.
Setiausaha Agung UMNO Asyraf Wajdi, berkata proses rundingan antara parti-parti komponen berjalan lancar dan hanya menunggu pemuktamadan rasmi.
“Kita sedang dalam rundingan agihan kerusi bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan. Insya-Allah akan dimuktamadkan minggu hadapan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tribunal Antibuli di Kuala Lumpur hari ini.
Selain persiapan kerusi, BN turut memberi penekanan kepada pendekatan kempen yang lebih matang dan berfokus kepada keperluan rakyat.
Menurut Asyraf, parti itu telah menetapkan bahawa bahan kempen pada kedua-dua PRN tidak boleh menyentuh soal peribadi atau menyerang calon daripada parti lain.
Sebaliknya, katanya, kempen akan tertumpu kepada dasar serta tawaran yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.
“Bahan kempen pada PRN Johor dan Negeri Sembilan akan mengetengahkan dasar yang mahu ditawarkan kepada rakyat. Paling utama tawaran ini boleh memberikan manfaat kepada rakyat.
“Presiden juga sudah memaklumkan supaya jangan sentuh soal peribadi dan membuka aib mana-mana pihak,” katanya.
Pendekatan itu dilihat selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan dan beberapa gabungan lain di peringkat Persekutuan.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir sebelum ini dilaporkan berkata proses agihan kerusi berjalan dengan baik dan beliau yakin tidak akan berlaku pertindihan tuntutan dalam kalangan parti komponen menjelang kedua-dua PRN berkenaan.
PRN Negeri Sembilan bakal menjadi antara tumpuan utama politik negara selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan pada 4 Jun lalu bagi memberi laluan kepada pilihan raya.
Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar, Aminuddin Harun, sekali gus menamatkan spekulasi yang berlarutan selama beberapa minggu.
Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN untuk mengadakan pilihan raya selepas Johor yang mengambil langkah sama lebih awal.
Mengulas kemungkinan Melaka turut membubarkan DUN dalam masa terdekat, Asyraf berkata perkara itu terletak di bawah prerogatif Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh.
PRN Johor: Puad beri laluan kepada calon muda, tak pertahan kerusi Rengit
PAS jangka PRU-16 mungkin diadakan hujung tahun
Bersatu kekal bertanding guna logo PN dalam PRN Johor, Negeri Sembilan: Muhyiddin
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar