Mahfuz Omar.
Naib Presiden Parti Amanah Mahfuz Omar mempersoalkan konsistensi pendirian politik sesetengah pemimpin yang sebelum ini sering menjadikan DAP sebagai sasaran politik, namun kini dilihat bekerjasama rapat dengan parti itu dalam urusan pentadbiran dan pembangunan negeri.
Beliau mengulas laporan media mengenai program dan pertemuan bersama Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Menurut Mahfuz, kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya dipertikaikan kerana ia penting demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri.
“Tiada siapa mempertikaikan keperluan pemimpin kerajaan bekerjasama demi kepentingan rakyat. Namun rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar apabila naratif politik yang dimainkan sebelum ini dilihat bercanggah dengan apa yang berlaku hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, jika selama ini DAP dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sering digambarkan sebagai ancaman politik, timbul persoalan mengapa kini tiada masalah untuk berkongsi pentas, menghadiri program bersama dan melaksanakan projek pembangunan secara bersama.
“Adakah naratif yang dimainkan sebelum ini sekadar retorik politik untuk meraih sokongan pengundi Melayu, atau pendirian yang dipegang selama ini sebenarnya tidak konsisten?” soalnya.
Mahfuz turut menegaskan rakyat semakin matang dalam menilai perkembangan politik semasa dan tidak mudah menerima pendekatan yang berubah mengikut keadaan.
Menurutnya, tidak wajar DAP dijadikan musuh ketika musim pilihan raya, tetapi pada masa yang sama menjadi rakan strategik apabila melibatkan pelaksanaan projek kerajaan, pelaburan dan pembangunan infrastruktur.
“Politik seperti ini hanya menghakis kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan seseorang pemimpin,” katanya.
Beliau juga berpandangan Kerajaan Perpaduan memerlukan kejujuran dan ketelusan dalam hubungan antara parti-parti komponennya, bukannya permainan sentimen politik yang boleh mengelirukan rakyat.
Katanya, Johor turut menerima manfaat hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, termasuk pelbagai projek strategik yang melibatkan kementerian diterajui pemimpin PH.
“Adalah tidak adil apabila kejayaan mahu dikongsi bersama, tetapi pada masa yang sama sentimen kebencian terhadap rakan dalam Kerajaan Perpaduan terus dimainkan demi kepentingan politik sempit,” katanya.
Mahfuz berkata politik matang menuntut pemimpin bersikap konsisten dan berani mengakui realiti kerjasama yang sedang berlangsung demi manfaat rakyat.
“Jika semalam DAP dijadikan ancaman, mengapa hari ini boleh menjadi rakan pembangunan? Rakyat berhak mendapat jawapan yang jujur,” katanya
Mahfuz menegaskan rakyat Johor tidak memerlukan politik bermuka-muka, sebaliknya mahukan pemimpin yang bercakap benar, konsisten dengan pendirian dan jujur dalam berpolitik.
PAS jangka PRU-16 mungkin diadakan hujung tahun
Bersatu kekal bertanding guna logo PN dalam PRN Johor, Negeri Sembilan: Muhyiddin
Pasukan khas pantau isu 3R menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar