Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
PKR menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan peguam parti untuk menentukan tindakan lanjut terhadap bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang meninggalkan parti itu bulan lalu.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata sebarang langkah susulan terhadap kedua-dua bekas pemimpin kanan parti itu akan diputuskan oleh peguam yang dilantik PKR.
“Mereka sudah letak jawatan, sudah keluar parti. Jadi, saya serahkan kepada pasukan peguam,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Rahmah MADANI di sebuah pasar raya di Taman Daya hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai bentuk tindakan yang mungkin diambil terhadap Rafizi dan Nik Nazmi.
Isu berkenaan timbul susulan keputusan kedua-dua pemimpin itu melepaskan kerusi Parlimen masing-masing pada 17 Mei lalu sebelum mengumumkan keluar daripada PKR, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai implikasi undang-undang di bawah Akta Antilompat Parti.
Sebelum ini, PKR dilaporkan sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi dan Nik Nazmi, termasuk berkaitan bon bernilai RM10 juta yang dikenakan ke atas calon parti dalam pilihan raya.
Rafizi yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Presiden PKR, manakala Nik Nazmi merupakan Naib Presiden parti, kemudiannya mendaftar sebagai ahli biasa Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada 21 Mei.
Bagaimanapun, PKR berpendirian tarikh kedua-dua mereka meninggalkan parti adalah pada 17 Mei, iaitu ketika pengumuman peletakan jawatan dan pengosongan kerusi Parlimen dibuat.
Perkembangan itu menjadi antara episod paling besar dalam PKR sejak penubuhannya, memandangkan Rafizi dan Nik Nazmi merupakan antara tokoh penting yang memainkan peranan dalam perjuangan serta pengukuhan parti sejak bertahun-tahun lalu.
Selangor umum bantuan rakyat RM209 juta, Johor pula bersedia untuk pilihan raya: AMK
PAS perlu uji kekuatan sebenar ‘gelombang hijau’, tinggalkan PN bertanding guna bulan
DAP ikhlas dengan UMNO, bukan hanya kawan masa senang: Nie Ching
21 saksi selesai beri keterangan dalam kes rasuah bekas MB Perlis
PAS disaran keluar PN, bentuk gabungan baharu bersama UMNO: Tun Faisal
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar