Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong.
Pemuda MCA membidas Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong, susulan kenyataannya berhubung isu Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi yang didakwa dihalang daripada memasuki Program Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026.
Timbalan Ketua Pemudanya, Mike Chong berkata kenyataan Kah Leong yang mengaitkan pihak tertentu dalam insiden tersebut dibuat tanpa memahami struktur pentadbiran FELDA dan saluran kuasa sebenar dalam organisasi itu.
Menurutnya, FELDA berada di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi Unit Kawal Selia FELDA, justeru sebarang keputusan penting berkaitan agensi itu tidak boleh dilihat secara terpisah daripada struktur pentadbiran kerajaan Persekutuan.
“Ketua DAPSY nampaknya tidak faham bahawa FELDA diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kawal Selia FELDA. Sebelum menuduh pihak lain mereka-reka cerita, adalah lebih baik beliau menyemak fakta terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chong berkata, walaupun Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dipertanggungjawabkan menjaga FELDA dan Ahmad Shabery Cheek berperanan sebagai Pengerusi, keputusan muktamad berkaitan agensi itu tetap melalui saluran pentadbiran tertinggi kerajaan.
Beliau turut merujuk kepada kenyataan Onn Hafiz yang sebelum ini merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid dan Ahmad Shabery atas kerjasama dalam program penyerahan geran kepada peneroka FELDA.
Katanya, Menteri Besar Johor itu juga menjelaskan halangan untuk mengadakan program di kawasan FELDA bukan berpunca daripada kedua-dua pemimpin berkenaan, sebaliknya melibatkan keputusan di peringkat lebih tinggi.
“Onn Hafiz sendiri menyatakan bahawa halangan tersebut bukan datang daripada mereka, sebaliknya wujud keputusan di peringkat tertinggi yang menghalang program itu dilaksanakan di lokasi asal,” katanya.
Sehubungan itu, Chong menggesa DAPSY mendapatkan penjelasan daripada Unit Kawal Selia FELDA bagi mengenal pasti pihak yang mengarahkan penangguhan program tersebut serta pihak yang perlu bertanggungjawab.
Beliau turut menyifatkan tindakan DAPSY yang terus menyerang pihak lain tanpa fakta lengkap sebagai tidak membantu menyelesaikan isu sebenar.
Kontroversi itu tercetus selepas lokasi majlis yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di FELDA Ulu Belitong terpaksa dipindahkan ke Dewan Dato’ Onn, Taman Sri Lambak.
Bagaimanapun, Onn Hafiz tetap menghadiri program berkenaan bagi memastikan 210 peneroka menerima geran hak milik tanah masing-masing.
Isu berkenaan menjadi perhatian selepas beberapa pihak saling bertukar kenyataan mengenai punca sebenar perubahan lokasi program, sekali gus mencetuskan perdebatan politik melibatkan pemimpin kerajaan dan parti komponen.
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
Bersatu nafi bantah kemasukan Pejuang ke PN, bantah kemasukan PCM: Hilman
Tun Faisal dakwa Hamzah punca keretakan PN, PAS campur urusan dalaman Bersatu
Parti Rafizi terlalu taksub kritik kerajaan, tiada formula bantu rakyat: AMK
Bukankah FELDA diurus Pengerusi dan Menteri UMNO? DAPSY persoal dakwaan MB Johor
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar