Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi.
Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan UMNO bukan sebuah parti yang mengutamakan kepentingan keluarga atau amalan mewariskan jawatan kepada anak-beranak, susulan keputusan Mohd Puad Zarkashi keluar daripada parti itu.
Setiausaha Agung UMNO itu mendakwa tindakan Mohd Puad meninggalkan UMNO mempunyai kaitan dengan kegagalan anaknya dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Asyraf berkata, beliau berasa dukacita dengan keputusan sahabat lamanya itu untuk meninggalkan UMNO, namun menganggap ia sebagai hak demokrasi yang dijamin Perlembagaan.
“Saya hanya mampu mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan segala kebaikan dilimpahkan atas jasa yang disumbangkan kepada parti selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Asyraf juga menyangkal dakwaan Mohd Puad mengatakan UMNO Johor dikawal oleh Istana sehingga membawa kepada pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu, sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai fitnah.
Menurutnya, Mohd Puad sebelum ini pernah mengugut untuk meninggalkan parti sekiranya kepimpinan tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon DUN Rengit.
Katanya, walaupun anak Mohd Puad mempunyai potensi sebagai pemimpin muda, pemilihan calon pilihan raya dibuat berdasarkan pelbagai pertimbangan dan bukannya atas faktor hubungan kekeluargaan.
“Adalah tidak wajar seorang pemimpin lama mengugut parti dengan mensyaratkan anaknya mesti menjadi calon. UMNO bukan parti warisan anak-beranak yang perlu mengutamakan keluarga dan suku-sakat untuk menjadi pemimpin,” katanya.
Beliau turut mendakwa ini bukan kali pertama Mohd Puad mengugut untuk keluar parti apabila kehendaknya tidak dipenuhi, termasuk ketika era kepimpinan Najib Razak apabila tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat.
Asyraf menegaskan perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan individu dan parti tidak seharusnya tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.
“UMNO mesti terus berdiri sebagai parti perjuangan bangsa, agama dan tanah air, bukan tunduk kepada tekanan mana-mana individu,” katanya.
Terdahulu, Mohd Puad mengumumkan keluar daripada UMNO serta melepaskan semua jawatan dalam parti selepas mendakwa tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap hala tuju kepimpinan UMNO, selain mengaitkan pembubaran DUN Johor dengan campur tangan pihak Istana.
Dakwa universiti awam jual tempat, ADUN Jitra dihadapkan ke mahkamah
PRN Johor: Agihan kerusi, isu logo BN jadi punca rundingan UMNO-PAS buntu
“Onn Hafiz pak turut, UMNO Johor boneka terikat,” Puad umum keluar UMNO
Onn Hafiz tak perlu jadi ‘drama king’, Sheikh Umar cabar dedah pihak sekat masuk FELDA
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar