Ahmad Samsuri Mokhtar.
Perikatan Nasional (PN) mengesahkan kesediaannya menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila Pengerusinya, Ahmad Samsuri Mokhtar, menandatangani watikah pelantikan calon dan surat kebenaran penggunaan logo gabungan itu.
Langkah tersebut sekali gus menamatkan spekulasi mengenai hala tuju PAS selepas rundingan dengan UMNO dilaporkan gagal mencapai kata sepakat.
Menerusi hantaran di Facebook pada Rabu malam, Ahmad Samsuri berkata setiap tandatangan yang dibuat bukan sekadar memenuhi proses pencalonan, sebaliknya membawa amanah besar untuk memperjuangkan suara rakyat Johor.
“Kita sudah menandatangani watikah pelantikan calon dan surat kebenaran menggunakan simbol parti untuk PRN Johor. Semoga Allah merestui dan mengurniakan kemenangan kepada semua calon PN serta dipermudahkan segala urusan,” katanya dipetik laporan media.
Perkembangan itu dilihat mengesahkan PAS kekal bersama PN bagi menghadapi PRN Johor selepas usaha mendapatkan persefahaman politik dengan UMNO sebelum ini tidak membuahkan hasil.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, rundingan pembahagian kerusi dalam PN telah diselesaikan secara muafakat mengikut mekanisme rasmi gabungan dan kini semua jentera perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kempen pilihan raya.
“Sudah tiba masanya semua kepimpinan dan jentera parti komponen memberikan sepenuh tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya. Keutamaan kita adalah menawarkan kepimpinan yang berintegriti, dasar membela rakyat serta membawa harapan baharu demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Samsuri turut mengingatkan semua parti komponen supaya menghormati keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
“PN bergerak berdasarkan Perlembagaan, disiplin organisasi dan keputusan bersama. Setiap parti mempunyai ruang menyuarakan pandangan, namun apabila sesuatu ketetapan diputuskan melalui mekanisme rasmi, semua pihak wajib menghormatinya,” katanya.
Beliau turut melahirkan kekesalan apabila isu dalaman gabungan dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat selesai, sambil menegaskan tindakan sedemikian tidak membantu usaha memperkukuhkan PN menjelang PRN Johor.
PRN Johor dijangka menjadi medan penting untuk menguji kekuatan PN selepas gabungan itu mengekalkan kerjasama antara parti komponennya, walaupun PAS sebelum ini dikatakan mengadakan rundingan dengan UMNO yang akhirnya gagal mencapai persetujuan berhubung beberapa tuntutan termasuk pembahagian kerusi dan bentuk kerjasama politik.
Dakwa universiti awam jual tempat, ADUN Jitra dihadapkan ke mahkamah
PRN Johor: Agihan kerusi, isu logo BN jadi punca rundingan UMNO-PAS buntu
“Onn Hafiz pak turut, UMNO Johor boneka terikat,” Puad umum keluar UMNO
Onn Hafiz tak perlu jadi ‘drama king’, Sheikh Umar cabar dedah pihak sekat masuk FELDA
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar