Ayna Soraya Badaruddin.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin mempertaruhkan pengalaman dan kepakarannya dalam bidang kejuruteraan maritim untuk memacu pembangunan sektor perikanan yang menjadi nadi ekonomi penduduk kawasan itu.
Dikenali sebagai ‘akak kapal’ kerana pengalaman luas dalam industri perkapalan serta minyak dan gas sebelum menceburi politik, Soraya berkata kepakaran dimilikinya boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti nelayan menerusi pembangunan infrastruktur yang lebih moden dan tersusun.
Beliau berkata kawasan seperti Parit Jawa dan Pantai Leka mempunyai potensi besar untuk dimajukan, namun memerlukan penambahbaikan kemudahan termasuk jeti, pusat pendaratan bot dan penggunaan teknologi moden bagi membantu meningkatkan hasil tangkapan serta mengurangkan kos operasi nelayan.
“Saya mahu gunakan pengalaman saya dalam bidang maritim untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi kepada penduduk Sungai Balang,” katanya dipetik dalam temu bual FMT.
Lulusan University of Southampton itu berkata, pembangunan industri perikanan tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti menangkap ikan semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan keseluruhan rantaian ekonomi termasuk pemasaran, pemprosesan hasil laut, logistik dan latihan kepada komuniti nelayan.
Selain memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi setempat, Timbalan Ketua Srikandi PKR itu turut berhasrat memperkasa wanita dan ibu tunggal melalui latihan kemahiran, bantuan bersasar serta peluang menjana pendapatan.
Bagi golongan belia pula, Soraya mahu memperluaskan peluang pekerjaan menerusi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), selain menggalakkan penyertaan dalam ekonomi digital supaya anak muda tidak perlu berhijrah jauh untuk membina kerjaya.
Beliau turut memberi perhatian terhadap isu capaian internet yang masih lemah di beberapa kawasan di Sungai Balang dan berkata perkara itu telah dibangkitkan kepada Menteri Komunikasi bagi mempercepatkan usaha penambahbaikan.
Mengulas persaingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 11 Julai ini, Soraya mengakui beliau turun sebagai calon bukan pilihan memandangkan Sungai Balang sekian lama dianggap kubu kuat UMNO.
“Saya sedar saya turun sebagai ‘underdog’, tetapi tidak mustahil kita mampu mencipta kejutan jika pengundi menilai tawaran pembangunan yang kami bawa,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, Soraya berdepan pertandingan tiga penjuru menentang penyandang Barisan Nasional (BN), Selamat Takim, dan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Amin Sailan.
DUN Sungai Balang merupakan antara kawasan yang mempunyai komuniti nelayan yang besar di daerah Muar, menjadikan pembangunan sektor perikanan, peluang pekerjaan dan kemudahan asas antara isu utama yang menjadi perhatian pengundi sepanjang kempen pilihan raya.
Gagal isytihar wang tunai ditemui SPRM dan emas: Ismail Sabri mahu cabar pertuduhan
Loke hantar surat letak jawatan, berkuat kuasa bila Najib pulang ke rumah
AMK gesa PAS isytihar Zahid sebagai ‘poster boy’ calon PM
Krisis Negeri Sembilan: 10 bekas Exco terima arahan pulangkan kenderaan rasmi
Anwar, Wan Azizah beri penghormatan terakhir kepada Siti Hasmah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum