Ahmad Zahid Hamidi.
Barisan Nasional (BN) tidak bercadang untuk tergesa-gesa mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri lain meskipun mencatat kemenangan besar pada PRN Melaka Ke-16, Sabtu lalu.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan mengadakan pilihan raya perlu mengambil kira keadaan politik dan kesesuaian di setiap negeri, bukannya dibuat berdasarkan kejayaan BN di Melaka semata-mata.
Katanya, beliau menyerahkan kepada Ketua Menteri dan Menteri Besar masing-masing untuk menilai masa sesuai bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, sebarang keputusan juga perlu mengambil kira perkenan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri sebelum tindakan pembubaran DUN dilakukan.
“Kita baru saja selesai Melaka. Jadi kita tidak mahu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya di negeri-negeri lain.
“Saya serahkan kepada Ketua Menteri ataupun Menteri Besar di negeri masing-masing untuk melihat bagaimana situasinya dan mempersembahkan serta memberi nasihat kepada Tuanku, Tuan Yang Terutama dan Yang di-Pertua Negeri jika ia bersesuaian.
“Tetapi biarlah kita selesaikan satu persatu dahulu,” katanya selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) di Kompleks Sukan Bagan Datuk, hari ini.
Kenyataan itu hadir selepas kejayaan besar BN pada PRN Melaka yang menyaksikan parti itu memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga dengan kekuatan sendiri.
Keputusan itu turut mencetuskan perbincangan mengenai kemungkinan pilihan raya di negeri lain, khususnya Perak dan Pahang, yang masih mempunyai ruang untuk menentukan hala tuju politik masing-masing.
Semalam, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Puad Zarkashi menggesa supaya DUN Perak dan Pahang dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya susulan kejayaan BN dalam tiga siri PRN.
Beliau turut berpandangan formula kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi membawa kejayaan dalam pilihan raya akan datang.
Dalam PRN Melaka, BN muncul sebagai parti paling dominan dengan 21 kerusi, manakala PN memenangi tiga kerusi dan DAP memperoleh baki empat kerusi bagi Pakatan Harapan (PH).
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan BN di Melaka, namun Zahid memberi isyarat parti itu tidak akan menjadikan keputusan berkenaan sebagai alasan untuk mempercepatkan pilihan raya di negeri lain.
PAS sedia runding kerusi DUN Terengganu dengan BN: Samsuri
Parti Rafizi mungkin terkubur awal jika terlalu idealistik – Puad
PAS tiada sebab serah jawatan PM kepada UMNO – Kadir Jasin
Tindakan Timbalan Speaker bahas Belanjawan 2027 cetus bantahan MP
MP Pasir Gudang disiasat berhubung sajak ‘Patik Tak Rela’ kritik isu Najib
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis