Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan (PH) menawarkan agenda pembangunan lebih mampan dan seimbang di Johor, dengan tumpuan untuk merapatkan jurang ekonomi antara Johor Bahru dan daerah lain seperti Segamat, Muar, Batu Pahat serta kawasan di utara, timur dan barat negeri itu.
Naib Presiden PKR, Amirudin Shari berkata, kehadiran PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan untuk mengganggu keharmonian sedia ada, sebaliknya membawa pendekatan pentadbiran yang mampu memanfaatkan potensi besar negeri berkenaan secara lebih menyeluruh.
Menurut beliau, Johor mempunyai kedudukan strategik dan kekuatan ekonomi yang besar, namun corak pembangunan ketika ini dilihat masih tertumpu kepada Johor Bahru sehingga mewujudkan jurang pendapatan dan peluang antara penduduk bandar serta daerah lain.
“Johor ini ada bahagian lain di utara, timur dan barat. Jurang pendapatan penduduk agak ketara antara Johor Bahru dan Segamat. Sebab itulah kita datang untuk membawa perubahan dan seterusnya mentadbir Johor dengan baik,” katanya ketika berucap pada Jelajah Ke Depan Undi Harapan di Pekan Senggarang malam tadi.
Turut hadir Timbalan Presiden Parti Amanah, Mujahid Yusof.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, jumlah pelaburan besar tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran kejayaan sesebuah kerajaan negeri jika ia tidak diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat tempatan.
Beliau berkata, Johor merekodkan pelaburan kira-kira RM101 bilion tahun lalu, namun jumlah pekerjaan baharu yang diwujudkan dilihat lebih rendah berbanding Selangor yang menerima pelaburan RM83 bilion.
“Di Selangor, pelaburan RM83 bilion berjaya mencipta 60,000 peluang pekerjaan baharu. Johor pula menerima pelaburan lebih tinggi, tetapi peluang pekerjaan mungkin tidak sampai 30,000 atau 40,000, malah mungkin lebih rendah,” katanya.
Justeru, beliau berkata PH akan memberi penekanan kepada pelaburan berimpak tinggi yang mampu menyediakan pekerjaan bergaji lebih baik, terutama kepada golongan muda Johor.
Antara pendekatan yang akan diberi perhatian ialah penyelarasan pembangunan bersama kerajaan Persekutuan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka menjadi pemangkin baharu kepada ekonomi negeri.
“Ini penting untuk mencipta peluang pekerjaan bergaji tinggi supaya anak muda kita tidak lagi perlu berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk mencari rezeki,” katanya.
PRN Johor kali ini menyaksikan 172 calon bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri, dengan pengundian awal dijadualkan pada 7 Julai manakala hari pengundian pada 11 Julai.
Pilihan raya itu menjadi medan penting untuk menentukan hala tuju pentadbiran Johor, ketika negeri berkenaan berdepan peluang besar daripada hubungan ekonomi dengan Singapura, pembangunan infrastruktur serta kemasukan pelaburan baharu.
Mahu jawatan PM, UMNO perlu bersama dengan PN: PAS Selangor
Akmal sahkan Pemuda UMNO akan hadir Muktamar Pemuda PAS
Marzuki: Keahlian Bersatu masih sah dalam PN
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri