Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.
Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin, atau Chegubard, hilang kelayakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan denda RM5,000 terhadapnya hari ini.
Hukuman itu sekali gus menjejaskan perancangan Parti Wawasan yang dilaporkan mahu menampilkan Chegubard sebagai calon pada PRN Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung 1 Ogos depan.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata jumlah denda dikenakan mahkamah menyebabkan anak guamnya tidak lagi layak menjadi calon pilihan raya mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.
“Kita memohon supaya Chegubard tidak dikenakan hukuman penjara dan mahkamah tidak menjatuhkan hukuman itu.
“Pada masa sama, kita memohon jumlah denda tidak melebihi RM2,000 kerana individu yang dikenakan denda RM2,000 atau lebih akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya,” katanya dipetik laporan media selepas prosiding.
Beliau berkata pihak pembelaan turut memaklumkan kepada mahkamah mengenai sebuah parti untuk meletakkan Chegubard sebagai calon pada hari penamaan calon, 18 Julai ini.
“Namun dengan denda RM5,000 ini, Chegubard tidak lagi boleh bertanding. Itulah keputusan mahkamah dan kami akur serta menghormatinya,” katanya.
Muhammad Rafique berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu di Mahkamah Tinggi pada masa terdekat.
“Saya berpendapat kami mempunyai asas yang kukuh untuk rayuan dan berharap Chegubard berjaya dalam proses itu,” katanya.
Terdahulu, Hakim Rasidah Roslee menjatuhkan denda RM5,000 terhadap Chegubard, 48, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut.
Mahkamah turut memerintahkan beliau dipenjara selama 20 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Chegubard didakwa menerbitkan hantaran berunsur menghasut menerusi media sosial pada 26 April lalu.
Hantaran itu didakwa mengaitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta dua individu yang didakwa sebagai taikun judi dengan projek kasino di Forest City.
Kes itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Krisis takhta NS, Syahredzan nasihat jangan cabar institusi Raja sesuka hati
Ab Rauf titip tiga pesan sebelum DUN Melaka dibubar
PUTRA lapor polis, dakwa Exco Negeri Sembilan ganggu institusi Raja
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum