Azalina Othman Said.
Kuasa pengampunan merupakan bidang kuasa yang diperuntukkan secara jelas dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar dilihat sebagai tindakan mengatasi undang-undang, kata Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata prinsip kedaulatan undang-undang kekal menjadi asas negara, namun Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi yang turut menetapkan mekanisme berkaitan pengampunan.
Menurutnya, bagi kesalahan dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Perkara 42 memberikan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong selain menetapkan kerangka Lembaga Pengampunan.
“Tidak wajar menggambarkan pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan sebagai tindakan mengatasi undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Azalina berkata keputusan mahkamah dan proses pengampunan merupakan dua perkara berbeza.
Katanya, mahkamah menjalankan fungsi kehakiman dalam menentukan kesalahan serta hukuman, manakala Perkara 42 menyediakan mekanisme perlembagaan berkaitan pengampunan, penundaan hukuman atau peringanan hukuman.
“Kewujudan kuasa pengampunan dalam Perlembagaan tidak bermakna keputusan mahkamah diketepikan atau seseorang individu berada di atas undang-undang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan setiap institusi perlu bertindak dalam ruang kuasa yang ditetapkan Perlembagaan, termasuk Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan menteri berkaitan.
Azalina berkata peranan institusi berkenaan perlu dinilai berdasarkan Perkara 42 serta prosedur yang ditetapkan, bukannya melalui tafsiran atau persepsi politik.
“Sebarang persoalan mengenai kesahan, kesan undang-undang atau proses sesuatu tindakan hendaklah dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta dan proses yang sebenar, bukan sekadar kenyataan politik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam memperkenankan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung di Istana Negara.
Isu kuasa pengampunan kembali menjadi perhatian susulan keputusan berkenaan, sekali gus mencetuskan perbahasan mengenai bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, peranan Lembaga Pengampunan serta kedudukan keputusan mahkamah dalam sistem perlembagaan negara.
Azalina dalam pada itu menggesa semua pihak menghormati keputusan mahkamah, Perlembagaan Persekutuan serta proses yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Bersatu tunggu keputusan RoS berhubung aduan PN: Muhyiddin
Syarat pengampunan Najib perlu dijelaskan kepada rakyat: Bersatu
Siasatan 1MDB Najib kekal, SPRM teruskan kes
Kes Tabung Haji: Azeez, keluarga diminta isytihar harta kepada SPRM
Pengampunan Najib: PH tegaskan tiada siapa mengatasi undang-undang
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum