Tindakan PAS bersama UMNO bukan penyatuan Melayu, hanya penjajaran kuasa: Muhyiddin

July 17, 2026 · Politik

Muhyiddin Yassin mendakwa Bersatu tidak pernah meninggalkan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya dipinggirkan apabila hak parti itu sebagai anggota pengasas dan parti komponen tidak lagi dihormati.

Presiden Bersatu itu berkata, dakwaan bekas Setiausaha Agung PAS, Annuar Musa, kononnya Bersatu menghalang usaha penyatuan Melayu adalah tidak berasas kerana parti itu sendiri diketepikan daripada proses membuat keputusan dalam PN.

“Bersatu tidak mufarakah daripada Perikatan Nasional secara sukarela. Kami masih parti anggota yang sah, tetapi hak-hak Bersatu telah dinafikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin, rundingan pembahagian kerusi pilihan raya antara PN dan Bersatu dihentikan tanpa alasan munasabah, malah parti itu tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan agihan kerusi.

“Bagaimana Bersatu boleh dituduh mendahului keputusan mesyuarat sedangkan kami sendiri tidak dijemput menghadirinya?” katanya.

Mengulas rundingan antara PN dan Barisan Nasional (BN), Muhyiddin berkata beliau tidak mempertikaikan usaha tersebut kerana Pengerusi PN sendiri mengakui memberi kebenaran untuk rundingan dijalankan.

Namun, katanya, kerjasama politik yang melibatkan dasar gabungan sepatutnya dibincangkan dan diputuskan terlebih dahulu oleh Majlis Tertinggi PN sebelum sebarang persetujuan dimeterai.

“Sepanjang lima tahun saya memimpin Perikatan Nasional, saya tidak pernah mengenepikan mana-mana parti anggota dalam proses membuat keputusan, termasuk pembahagian kerusi pilihan raya. Semua parti terlibat dalam rundingan dan setiap keputusan dibuat secara teratur.

“Hari ini segalanya telah berkecamuk,” katanya.

Muhyiddin turut menolak dakwaan Bersatu menjadi penghalang kepada penyatuan Melayu.

Katanya, sejak menubuhkan Bersatu, perjuangan parti itu sentiasa berteraskan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, malah beliau pernah mencadangkan PN menjadi gabungan besar yang menghimpunkan parti-parti Melayu termasuk UMNO bersama parti pelbagai kaum.

Menurutnya, cadangan itu tidak diterima UMNO ketika itu, malah parti berkenaan enggan menjadi sebahagian daripada gabungan parti dalam kerajaan PN walaupun beberapa Ahli Parlimennya menyokong pentadbiran tersebut.

Beliau turut mendakwa Ahli Parlimen UMNO kemudian berkomplot menjatuhkan kerajaan PN, dan situasi hampir sama kini berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.

Muhyiddin berkata, keputusan PAS menjalin kerjasama dengan UMNO menyebabkan hubungan dengan Bersatu terputus, sekali gus menyaksikan parti itu diketepikan daripada gabungan yang diasaskannya sendiri.

“Ini bukan penyatuan Melayu yang sebenar. Apa yang berlaku hanyalah penjajaran semula kuasa politik,” katanya.

Walaupun mengakui kecewa dengan perkembangan itu, Muhyiddin berkata Bersatu akan meneruskan perjuangannya sebagai sebuah parti yang berdiri sendiri.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Perikatan Nasional. Bersatu tidak akan menoleh ke belakang lagi. Parti ini akan terus mara ke hadapan demi Malaysia dan seluruh rakyatnya,” katanya.

Berita berkaitan
PRN NS: Loke dakwa difitnah pemimpin UMNO konon bakal jadi MB
July 29, 2026· Politik
Video ucapan tular, MCA diasak isu ‘Yahudi’ menjelang hari mengundi: Lapor Malaysiakini
6 jam lalu· Politik
PRN NS: Manifesto PH bukan sekadar janji, 30,000 pekerjaan ada asas kukuh
8 jam lalu· Politik
Yew nafi dakwaan beli undi di Chuah, lapor polis supaya siasatan dibuat
9 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Laporan RCI dedah bonus lumayan kepada kakitangan TH ketika aset susut
July 29, 2026 · Politik
Anwar ambil alih pantau isu masyarakat india, mohon maaf guna istilah ‘kuil haram’
July 29, 2026 · Politik
Kerajaan percepat sidang khas Parlimen bahas laporan RCI Tabung Haji: Fahmi
6 jam lalu · Politik
MN: Bersatu cabar UMNO tarik sokongan Kerajaan Selangor
9 jam lalu · Politik
PRN NS: Kalau berani keluarlah, Manivanan cabar Zaidy
9 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO
15 jam lalu
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS
July 28, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok