Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivannan mempersoalkan tindakan pencabarnya daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidy Abdul Kadir yang menolak cabaran debat terbuka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut Manivannan, debat terbuka sepatutnya menjadi platform terbaik untuk membolehkan pengundi menilai kemampuan setiap calon, bukannya dianggap sebagai usaha menjatuhkan atau menghina mana-mana pihak.
“Kalau berani, keluarlah. Jangan sorok dalam rumah. Debat bukan satu perangkap, sebaliknya medan terbaik untuk rakyat menilai kemampuan setiap calon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan PH Jeram Padang, hari ini.
Beliau berkata, tujuan debat bukan untuk menyerang peribadi lawan, tetapi memberi peluang kepada rakyat mendengar sendiri visi, dasar, rekod serta penyelesaian yang ditawarkan oleh setiap calon.
Semalam, Mohd Zaidy dilaporkan menolak cabaran berdebat kerana berpendapat perdebatan tidak mempunyai asas jika sekadar bertujuan mencari kesalahan, menghina atau mengutuk pihak lain.
Penyandang kerusi Jeram Padang itu turut menafikan dakwaan tidak aktif sepanjang tiga tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum kembali menjelang PRN, selain mendakwa Manivannan pernah ditolak pengundi di Kuala Langat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mengulas perkara itu, Manivannan berkata kempen PRN sepatutnya memberi tumpuan kepada masa depan penduduk Jeram Padang dan bukannya mengungkit sejarah politik mana-mana individu.
Beliau berkata, sepanjang tempoh berkempen, dirinya turun padang bertemu pengundi di kawasan Felda, Felcra, taman perumahan, kampung Orang Asli, estet dan pelbagai komuniti bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka.
Dalam perkembangan lain, Manivannan turut menafikan dakwaan mengaitkan PH dengan video tular yang memaparkan pemberian wang di sebuah stesen minyak di Rompin, Jeram Padang.
Katanya, PH Jeram Padang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kejadian yang didakwa berlaku dan menyifatkan penyebaran video itu sebagai tidak bertanggungjawab serta berunsur fitnah.
“PH Jeram Padang tiada kaitan dengan dakwaan itu. Ia tidak bertanggungjawab, berunsur fitnah dan berpotensi mengelirukan pengundi sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan persaingan sengit antara gabungan parti yang bertanding untuk membentuk kerajaan negeri, dengan kempen kini memasuki fasa akhir menjelang hari pengundian pada 1 Ogos.
Debat calon, isu prestasi wakil rakyat dan dakwaan salah laku kempen antara perkara yang terus menjadi perhatian sepanjang tempoh berkempen.
Kerajaan percepat sidang khas Parlimen bahas laporan RCI Tabung Haji: Fahmi
MN: Bersatu cabar UMNO tarik sokongan Kerajaan Selangor
Yew nafi dakwaan beli undi di Chuah, lapor polis supaya siasatan dibuat
Kabinet setuju RCI Tabung Haji didedah, kerajaan teruskan siasatan
Perceraian kedua UMNO-PAS hanya soal masa? Wawasan sedang bina naratif Hamzah calon PM
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS