Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menegaskan PAS sepatutnya keluar daripada Perikatan Nasional (PN) jika parti itu memilih menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu, bukannya mendesak Bersatu meninggalkan gabungan berkenaan.
Menurut beliau, Bersatu merupakan antara pengasas PN dan mempunyai hak untuk terus kekal sebagai komponen gabungan itu.
“Sepatutnya kalau kita tidak puas hati dengan kawan dalam satu rumah, kitalah keluar. Bukan kita paksa kawan kita keluar. Ini tidak masuk akal.
“Tetapi, mungkin PAS memikirkan PN saya asaskan ini ada nilai, maka dia nak bergayut kepada PN dan buat perkara memaksa Bersatu supaya keluar.
“Jika Bersatu memutuskan meninggalkan PN, kita boleh keluar pada bila-bila masa,” katanya.
Muhyiddin berkata, amalan biasa dalam politik menunjukkan parti yang mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan rakan gabungan akan keluar daripada gabungan tersebut.
Beliau merujuk tindakan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini, selain keputusan Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
Awal bulan lalu, PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu, namun kedua-dua parti kekal sebagai komponen PN.
Gabungan itu yang kini dipengerusikan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar turut menerima dua komponen baharu iaitu Pejuang dan Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, PAS dan Bersatu bertanding menggunakan logo PN, namun PAS memutuskan tidak berkempen untuk calon Bersatu. Gabungan itu akhirnya gagal memenangi sebarang kerusi.
Menjelang PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, PN yang diterajui PAS menjalinkan persefahaman dengan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan pertembungan di semua 36 kerusi DUN di mana BN bertanding di 25 kerusi manakala PN di 11 kerusi.
Bersatu bagaimanapun menolak kerjasama tersebut dan memilih bertanding menggunakan lambang sendiri di 24 kerusi, sekali gus menyaksikan pertembungan dengan PN di lapan kawasan.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin mengesahkan beliau akan melepaskan jawatan Presiden Bersatu selepas penggalnya berakhir tahun depan tanpa mengira keputusan PRN Negeri Sembilan.
“Saya sudah menyatakan hasrat dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu tiga tahun lalu ini penggal terakhir saya sebagai presiden. Jadi, perubahan kepemimpinan untuk menyegarkan semula Bersatu dan membawa parti ke tahap lebih tinggi akan berlaku,” katanya.
Muhyiddin sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Bersatu pada Perhimpunan Agung Bersatu 2023 bagaimanapun, beliau menarik balik keputusan itu sehari kemudian selepas menerima desakan perwakilan supaya terus memimpin parti untuk satu penggal lagi.
Fahmi: Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat
14 kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan
BN tidak kompromi isu perkauman walau ada kerjasama politik: Zambry
Kempen masuk minggu kedua, Aminuddin fokus dekati pengundi seramai mungkin
Fahmi: Politik sepatutnya menyatupadukan rakyat, tindakan pemimpin PAS dikritik
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik