Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan kerajaan mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) dibuat bagi memastikan segala dakwaan salah laku dalam institusi itu disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, kerajaan pada mulanya mengambil masa hampir tiga tahun sebelum mengumumkan laporan tersebut kerana mahu memberi ruang kepada pengurusan baharu memulihkan kedudukan kewangan dan pentadbiran TH yang ketika itu berdepan pelbagai masalah.
Menurutnya, pendedahan awal dikhuatiri menjejaskan keyakinan pendeposit sehingga boleh memberi kesan lebih buruk kepada institusi yang menjadi tempat simpanan umat Islam itu.
“Pada 2022 dan 2023, apabila saya menjadi Perdana Menteri dan menerima taklimat daripada Pengerusi RCI, Tun Md Raus, kita bincang sama ada mahu dedahkan laporan itu atau tidak. TH minta beri sedikit masa.
“Sebab kita mahu uruskan TH dengan betul. Ketika itu kerugian besar, pelaburan bermasalah. Jika laporan didedahkan terlalu awal, orang mungkin hilang keyakinan dan mengeluarkan simpanan sehingga menjejaskan TH,” katanya ketika berucap pada program Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu malam tadi.
Anwar berkata, keputusan untuk mendedahkan laporan itu akhirnya dibuat selepas beliau menerima desakan supaya kerajaan bersikap telus berhubung dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam TH.
“Bila ada yang cabar saya, kalau benar ada penyelewengan, bongkarkan. Saya kata terima kasih, inilah peluangnya.
“Jemaah Menteri kemudian membuat keputusan untuk mengeluarkan laporan RCI dan mengarahkan SPRM, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia serta pihak berkaitan menjalankan siasatan. Saya tidak menuduh sesiapa, saya hanya mahu siapa yang bersalah disiasat mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya pendedahan laporan RCI itu dijadikan pengajaran agar institusi penting milik orang Melayu dan umat Islam terus ditadbir dengan penuh integriti.
“Kita boleh terima kelemahan mana-mana pemimpin, tetapi jangan salah guna kuasa untuk mengaut kekayaan. Itu yang paling penting.
“Saya tidak menuduh sesiapa. Laporan ini ada 12 jilid, baca dan biarkan agensi penguat kuasa menjalankan siasatan. Tidak perlu cabar saya lagi,” katanya.
Semalam, kerajaan turut memaklumkan pelbagai agensi penguat kuasa akan meneliti dapatan RCI bagi menentukan sama ada wujud unsur pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan lanjut.
Laporan RCI itu menjadi tumpuan selepas kerajaan mendedahkan pelbagai kelemahan dalam pengurusan TH sebelum ini, termasuk isu pelaburan, pematuhan peraturan dan tadbir urus yang didakwa menyumbang kepada kerugian besar institusi berkenaan.
Pendedahan itu turut mencetuskan gesaan supaya individu yang didapati bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
PRN NS: Loke dakwa difitnah pemimpin UMNO konon bakal jadi MB
Laporan RCI dedah bonus lumayan kepada kakitangan TH ketika aset susut
Anwar ambil alih pantau isu masyarakat india, mohon maaf guna istilah ‘kuil haram’
Kerajaan percepat sidang khas Parlimen bahas laporan RCI Tabung Haji: Fahmi
Video ucapan tular, MCA diasak isu ‘Yahudi’ menjelang hari mengundi: Lapor Malaysiakini
[VIDEO] Jangan tertipu ‘cium mulut’ BN dan PAS, jangan beri satu undi pun kepada UMNO
[VIDEO] Rekod Tok Min sukar ditandingi, ‘hantu DAP’ jadi modal UMNO-PAS