Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) sama sekali tidak membebaskan kepimpinan terdahulu daripada tanggungjawab terhadap kelemahan tadbir urus yang menyebabkan institusi itu mengalami kerugian berbilion ringgit.
Syed Saddiq menegaskan siasatan lebih mendalam perlu dijalankan walaupun laporan itu tidak menemukan bukti berlakunya penyelewengan dana atau wang diselewengkan ke akaun peribadi mana-mana pemimpin politik.
Menurut beliau, masyarakat perlu berlaku adil dalam menilai dapatan RCI, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan kelemahan pengurusan yang didedahkan dalam laporan berkenaan.
“Laporan RCI ini tidak menunjukkan ada pemimpin politik yang ‘sakau’ atau memasukkan duit berbilion ringgit ke akaun peribadi. Itu kita kena adil.
“Namun, ia langsung tidak boleh membersihkan mereka daripada masalah kepimpinan dan kelompongan tatakelola yang menyebabkan TH rugi berbilion ringgit. Jangan sekali-kali kita meraikan kesilapan lalu,” katanya ketika mengulas laporan RCI menerusi siaran langsung di media sosial.
Syed Saddiq turut menggesa audit forensik dijalankan terhadap 14 keputusan pelaburan utama yang mengalami kerugian besar bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan serta pihak yang perlu dipertanggungjawabkan.
Beliau berkata, antara pelaburan yang wajar diaudit secara menyeluruh ialah pelaburan dalam FGV Berhad, Putrajaya Perdana Berhad, Al-Rawda Real Estate dan TH Indo Plantations.
Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyiarkan laporan RCI setebal 211 muka surat berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 selepas dokumen itu dinyahklasifikasikan.
RCI berkenaan ditubuhkan pada 2021 dan menyiapkan laporan siasatannya pada Julai 2022 sebelum kerajaan memutuskan untuk mendedahkannya kepada umum.
Antara dapatan utama laporan itu ialah Tabung Haji berdepan krisis kewangan yang serius pada 2017, selain menggunakan kaedah “perakaunan kreatif” bagi membolehkan pembayaran hibah pada kadar tinggi walaupun kedudukan kewangannya tidak mengizinkan.
Laporan itu turut menyatakan TH sepatutnya merekodkan kerugian sebanyak RM1.4 bilion, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan ketika itu.
RCI juga mendapati hukuman tatatertib yang dikenakan terhadap lima pegawai kanan TH kemudiannya telah diringankan.
Pendedahan laporan RCI itu mencetuskan semula perdebatan mengenai tadbir urus Tabung Haji, dengan pelbagai pihak menggesa tindakan susulan diambil bagi memastikan kelemahan sama tidak berulang, termasuk siasatan lanjut terhadap keputusan pelaburan yang menyebabkan institusi berkenaan menanggung kerugian besar.
859,750 pengundi Negeri Sembilan tentukan nasib 36 kerusi DUN esok
Bersatu dakwa PAS guna logo PN sekadar ‘topeng’ untuk tarik undi bukan Melayu
Azeez Rahim sedia disiasat semula, susulan pendedahan laporan RCI Tabung Haji
RCI Tabung Haji: Pengkhianatan terbesar datang dari tangan sendiri
Darjah Kebesaran Rais Yatim ditarik balik serta-merta: Istana NS
[VIDEO] Jangan guna laporan RCI untuk bersihkan pemimpin salah tadbir TH walaupun tiada ‘sakau’
[VIDEO] Altimet gesa tumpuan diberi kepada nasib pendeposit Tabung Haji