Parti Warisan.
Warisan menafikan dakwaan kononnya parti itu telah membuat keputusan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan, sambil menyifatkan kenyataan media yang tular di media sosial sebagai palsu dan berniat jahat.
Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua berkata kenyataan yang menggunakan nama parti itu merupakan satu cubaan untuk memfitnah serta mencemarkan imej Warisan, malah dokumen rasmi parti turut dipalsukan bagi memberikan gambaran seolah-olah ia dikeluarkan secara sah.
“Warisan menafikan kenyataan yang tular melalui media sosial dan menganggap ini satu lagi fitnah yang cuba mengaitkan serta memburukkan Warisan.
“Pihak-pihak ini bukan sahaja berani menabur fitnah tetapi juga berani memalsukan dokumen Warisan seolah-olah ia kenyataan rasmi Setiausaha Agung,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu kenyataan media yang tersebar luas di media sosial yang mendakwa Warisan telah memutuskan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan selepas mengadakan perbincangan di pelbagai peringkat kepimpinan dan akar umbi parti.
Malah, kenyataan palsu itu turut mendakwa Warisan tidak lagi dapat meneruskan penyertaannya dalam kerajaan berikutan perbezaan pendirian terhadap beberapa dasar, hala tuju pentadbiran dan pendekatan berkaitan isu yang menyentuh kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, Loretto menegaskan dakwaan itu tidak benar dan meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penyebaran maklumat palsu yang menggunakan nama serta identiti rasmi parti.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mendapatkan pengesahan daripada saluran rasmi Warisan sebelum mempercayai atau menyebarkan sebarang kenyataan yang dikaitkan dengan parti berkenaan.
Isu itu timbul ketika landskap politik negara terus menjadi perhatian susulan beberapa perkembangan politik pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kedudukan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Namun, Warisan menegaskan tiada sebarang keputusan dibuat untuk menarik diri daripada gabungan kerajaan tersebut.
Warisan yang berpangkalan di Sabah dipimpin oleh Shafie Apdal dan sejak penubuhannya kekal sebagai antara parti utama yang memperjuangkan agenda berteraskan kepentingan Sabah di peringkat nasional.
RCI Tabung Haji ditubuh ketika UMNO berkuasa, kenapa dipersoal sekarang? – Mahfuz
Bersatu Melaka terbuka kerjasama dengan PH hadapi PRN
PRN Melaka: Amirudin diberi amanah teliti kerjasama PH-BN
Mahu jawatan PM, UMNO perlu bersama dengan PN: PAS Selangor
Akmal sahkan Pemuda UMNO akan hadir Muktamar Pemuda PAS
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri