Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail.
Pengerusi UMNO Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail menafikan pernah mengeluarkan kenyataan khusus menyatakan kesediaan parti itu bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Sebaliknya, Menteri Besar Pahang itu menjelaskan pendirian sebenar UMNO Pahang ialah terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti demi kepentingan rakyat negeri itu.
“Saya cakap (sedia) bekerjasama dengan mana-mana parti pun, demi rakyat Pahang, tapi bila keluar (berita) seperti saya cakap kerjasama dengan PAS.
“Maksud saya kita (kerajaan negeri) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, tapi kena bincanglah,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Pelajar Luar Negara di Kuantan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebelum ini yang memetik kenyataan beliau sebagai tidak menolak kemungkinan UMNO Pahang bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRU16.
Isu kerjasama UMNO-PAS kembali menjadi perhatian selepas Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar dilaporkan berkata parti itu mengutamakan usaha penyatuan parti-parti Melayu termasuk UMNO.
Rosli turut dilaporkan berkata PAS bersedia menghadapi mana-mana parti pada PRU-16 sekiranya usaha penyatuan itu tidak mendapat persetujuan.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata hubungan antara wakil rakyat UMNO dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan Pahang ketika ini berada dalam keadaan baik.
Menurutnya, semua wakil rakyat daripada kedua-dua blok politik itu menjalankan tugas seperti biasa tanpa sebarang masalah.
“Saya fikir kerajaan ini berjalan dengan baik dan boleh dikekalkan hingga PRU akan datang,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO.
Kerajaan perpaduan Pahang ketika ini terdiri daripada 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan lapan ADUN PH.
Wanita PKR perlu bangkit, turun padang dekati pengundi: Fadhlina
PKR beri ruang Nurul Izzah sambung pengajian, tiada had masa: Fuziah
Jangan biar perpecahan lemahkan PKR: Nurul Izzah
AMK tegur politik ‘berselingkuh’ dalam Kerajaan Perpaduan
PH yakin DAP utamakan kestabilan politik: Saifuddin Nasution
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan