Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.
Kerajaan akan terus memperkemas strategi komunikasi berkaitan dasar dan pencapaian supaya usaha yang dilaksanakan lebih mudah difahami serta dirasai rakyat, kata Fahmi Fadzil.
Ketua Penerangan PKR itu berkata, kelemahan dalam penyampaian maklumat perlu diperbaiki, terutama dalam menterjemahkan pencapaian makroekonomi kepada perkara yang lebih dekat dengan kehidupan seharian rakyat.
Beliau berkata, masih terdapat persepsi dalam kalangan rakyat hasil beberapa dasar kerajaan belum cukup difahami atau dirasai meskipun pelbagai pencapaian telah direkodkan.
“Ramai merasakan banyak kejayaan dasar kerajaan yang dibawa oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan juga pasukan kurang dinikmati, difahami oleh rakyat yang terbanyak,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan mewakili Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.
Fahmi berkata, pendekatan komunikasi perlu mengambil kira emosi dan pengalaman rakyat supaya pencapaian kerajaan bukan sekadar diketahui, sebaliknya dapat dirasai dan diterima dengan lebih dekat.
Menurutnya, jentera penerangan PKR akan diperkukuh melalui kerjasama lebih erat dengan pimpinan akar umbi, termasuk ketua cabang.
Katanya, siri ceramah dalam kelompok lebih kecil akan diperluas kerana pendekatan itu membolehkan penerangan berkaitan dasar dan isu semasa disampaikan dalam suasana lebih santai, selain membuka ruang interaksi secara langsung bersama rakyat.
Dalam masa sama, Fahmi berkata kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan dipertingkat bagi menangani penyebaran maklumat palsu serta akaun palsu yang memainkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).
“Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga semalam, MCMC telah mengenal pasti lebih 8,410 akaun palsu yang memainkan isu 3R dan meminta platform berkaitan untuk menurunkannya,” katanya.
Beliau berkata tindakan itu penting bagi mengelakkan isu bersifat emotif dimanipulasi sehingga mengganggu kefahaman rakyat terhadap dasar dan pencapaian kerajaan.
Mengulas hubungan dengan media, Fahmi menegaskan teguran terhadap laporan atau maklumat tidak benar akan dibuat melalui pendekatan tertib dan berhemah.
“Kita bukan dalam mod untuk mengawal media, tidak. Tapi sekiranya ada sebarang maklumat yang tidak benar, kita akan berurusan dengan media secara tertib dan beradab untuk memaklumkan bahawa perlukan sedikit teguran,” katanya.
Fahmi berkata pasukan penerangan turut melakukan penyesuaian strategi komunikasi dan memperkukuh kerjasama dengan sayap Wanita PKR bagi memastikan mesej kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
Kongres Nasional Keadilan 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam melabuhkan tirainya hari ini dengan ucapan penggulungan dan penangguhan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
PAS dan Tebuk Atap 2.0: UMNO masih tak berganjak pilih Kerajaan Perpaduan
Marzuki: Keahlian Bersatu masih sah dalam PN
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri