14 pembahas sokong DAP terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan

August 16, 2026 · Politik

DAP dijangka terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-16 selepas kesemua 14 pembahas pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 menyatakan sokongan terhadap pendirian itu.

Mereka melihat kedudukan dalam kerajaan sebagai ruang penting untuk parti memperjuangkan kepentingan rakyat, selain mempengaruhi dasar dan keputusan pentadbiran.

Perwakilan Kedah, Lim Hooi Yee, berkata DAP tidak seharusnya menghukum keseluruhan Kerajaan Perpaduan hanya susulan prestasi parti dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

“Jangan kerana kekalahan itu, kita menghukum seluruh kerajaan Persekutuan dan menggadaikan masa depan rakyat dan negara.

“Kalau kita keluar hari ini, adakah esok semuanya akan menjadi baik? Tidak. Kita mungkin mendapat ruang untuk menjerit dan mengkritik, tetapi kita akan kehilangan ruang paling penting, iaitu kerusi di meja keputusan untuk membela nasib rakyat dan membetulkan dasar yang pincang,” katanya ketika membahaskan usul pada persidangan berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Persidangan khas itu diadakan bagi menentukan sama ada DAP akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan atau menarik diri sehingga tamat penggal Parlimen semasa.

Lebih 4,200 perwakilan mengambil bahagian dalam persidangan itu untuk menentukan pendirian parti menerusi usul yang dibawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Hooi Yee berkata, keputusan untuk kekal dalam kerajaan tidak bermaksud DAP akan menjadi parti yang hanya mengikut segala keputusan pentadbiran.

“Kalau dasar tersasar, kita tegur. Dalam soal integriti, kita konsisten, tidak kira kawan atau lawan.

“Jangan biarkan parti kita hanya menjadi jurucakap kerajaan kepada rakyat. Tugas kita lebih besar, iaitu menjadi jurucakap rakyat dalam kerajaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan perwakilan supaya tidak memberi ruang kepada pihak yang memainkan sentimen kaum dan agama untuk melemahkan Kerajaan Perpaduan.

“Kalau kita keluar hari ini, kita hanya memberi kemenangan percuma kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, pembahas dari Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen, berkata DAP tidak seharusnya berundur hanya kerana berdepan cabaran politik.

Beliau berkata pengalaman parti di Pulau Pinang menunjukkan perjuangan politik memerlukan ketahanan sebelum sesuatu kejayaan dapat dicapai.

“Kita adalah satu parti yang pantang undur. Kita akan lawan, tetap lawan,” katanya.

Selain Hooi Yee dan Daniel Gooi, 12 lagi pembahas turut menyokong DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk wakil Kelantan, Selangor, Terengganu, Sarawak, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Kuala Lumpur, Melaka, Perlis dan Sabah.

Berita berkaitan
Anwar, Abang Johari dan Hajiji bincang persiapan MA63
August 22, 2026· Isu semasa
Polis rakam keterangan Hadi, telefon pentadbir Facebook diambil: Laporan
August 22, 2026· Isu semasa
Sudah lah tak hadir sidang khas Parlimen, Hadi persoal RCI TH dedah sekarang
August 22, 2026· Politik
Sultan Brunei kurnia Darjah Kerabat kepada Anwar
August 22, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
18 jam lalu · Politik
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
18 jam lalu · Politik
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
21 jam lalu · Politik
UMNO akan hantar wakil ke Muktamar PAS: Zahid
21 jam lalu · Politik
Bersatu bukan lagi ahli PN kerana bertanding guna logo sendiri: Takiyuddin
21 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok