Aziz Bari.
PAS dan Perikatan Nasional (PN) perlu membuktikan mereka benar-benar bersedia mengambil alih pentadbiran negara dengan membentuk kabinet bayangan, bukan sekadar terus mengkritik Kerajaan Perpaduan, kata Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari.
Beliau berkata, kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haim Hilman Abdullah, berkaitan Dasar Satu China menunjukkan PAS masih belum memahami tanggungjawab sebagai pembangkang yang bersedia menjadi kerajaan.
Menurutnya, pembangkang yang kredibel dalam sistem Westminster perlu mempunyai dasar yang jelas, termasuk dalam isu luar dan domestik, selain barisan jurucakap yang boleh membentuk sebuah kabinet bayangan.
“Rutin PAS hari ini ialah menghentam Perdana Menteri termasuk dalam isu kecil dan remeh. Mereka lupa ‘government in waiting’ yang kredibel ialah pasukan yang siap dengan dasar penting serta dasar luar dan domestik yang konsisten dan jelas,” katanya dalam kenyataan.
Aziz berkata, PAS juga perlu menyediakan barisan pemimpin yang mempunyai kepakaran untuk mengendalikan portfolio kerajaan sekiranya parti itu benar-benar mahu menawarkan diri sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada.
Beliau turut menyindir Presiden PAS yang didakwa tidak menunjukkan kesungguhan menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen, termasuk isu kehadiran di Dewan Rakyat.
Mengulas polemik Dasar Satu China, Aziz berkata kenyataan Haim Hilman menunjukkan beliau tidak memahami konteks kenyataan Perdana Menteri dalam wawancara bersama Al Jazeera.
“Kebimbangan yang disebut oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu adalah kebimbangan yang tidak berasas dan menggambarkan pemahaman dangkal terhadap realiti geopolitik,” katanya.
Aziz menjelaskan pendirian Malaysia berhubung isu China dan Taiwan bukan perkara baharu, malah sudah dinyatakan sejak pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein.
“Perlu disebut, pentadbiran itu ialah kerajaan Perikatan yang dipimpin UMNO,” katanya.
Sehubungan itu, Aziz menggesa PAS dan PN menubuhkan kabinet bayangan yang diketuai Ketua Pembangkang supaya rakyat dapat menilai lebih awal siapa yang bakal memegang portfolio penting sekiranya mereka mengambil alih kerajaan.
“Dengan adanya kabinet bayangan, rakyat dapat melihat wawasan yang jelas dan boleh dilaksanakan. Itu saja caranya untuk memastikan PAS dan PN tidak terus bermain dengan retorik serta teori yang simplistik,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu juga penting untuk membuktikan PAS dan PN mempunyai pelan pentadbiran yang lebih jelas, bukan sekadar bergantung kepada kritikan terhadap kerajaan.
“Jika PAS gagal berbuat demikian, kita boleh anggap PAS hanya bermimpi di siang hari,” katanya.
PAS dan Tebuk Atap 2.0: UMNO masih tak berganjak pilih Kerajaan Perpaduan
Marzuki: Keahlian Bersatu masih sah dalam PN
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri