Saifuddin Nasution Ismail.
PKR menolak gesaan UMNO supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) diadakan segera, sebaliknya berpandangan Lebih wajar diadakan sehingga tamat tempoh Parlimen pada awal 2028.
Timbalan Presiden PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh lebih setahun yang masih berbaki sepatutnya dimanfaatkan kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat, mengukuhkan kestabilan serta mengurus ekonomi dengan cermat.
“Sekarang baru September 2026, banyak benda lagi kita boleh manfaatkan kedudukan kerajaan sekarang, jaga kestabilan, elok urus ekonomi dengan cermat dan tumpu kebajikan rakyat.
“Setahun lebih ini masa cukup lumayan untuk kita tumpu kepada menunaikan amanah kepimpinan dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Nenasi, hari ini.
Pendirian Saifuddin itu bertentangan dengan gesaan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang mahu PRU-16 diadakan segera bagi memberi ruang kepada UMNO mendapatkan semula mandat rakyat untuk menerajui negara.
Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 sebelum ini menyifatkan PRU-16 sebagai detik penting untuk membuktikan UMNO bukan sekadar pelengkap dalam kerajaan.
Beliau turut menyeru agar Gelombang Biru yang dibawa UMNO diterjemahkan kepada usaha mendapatkan semula mandat rakyat.
Mengulas ucapan dasar Zahid, Saifuddin berkata, ucapan itu menyentuh pelbagai perkara tetapi berpaksi kepada kepentingan agama, bangsa dan negara.
Katanya, Presiden UMNO turut menyatakan hasrat parti itu untuk memposisikan UMNO sebagai parti yang mampu memimpin kerajaan pada PRU-16.
“Tidak salah semua parti boleh menyimpan hasrat, menyimpan cita-cita atau menyusun matlamat untuk menjadi memimpin kerajaan, tiada masalah itu normal,” katanya.
Saifuddin sebelum ini pernah memegang jawatan Menteri Dalam Negeri dan kini antara pemimpin utama PKR dalam kerajaan perpaduan.
Perbezaan pendirian mengenai masa PRU16 dijangka menjadi antara isu politik utama menjelang pilihan raya, terutama ketika parti-parti dalam kerajaan dan pembangkang mula menyusun strategi masing-masing.
Zahid : Jangan cabar UMNO keluar Kerajaan Perpaduan
UMNO jangan bergantung parti lain, bina kekuatan sendiri : Mohamad
Rata-rata perwakilan UMNO cenderung berunding dengan PAS sahaja: Asyraf Wajdi
PH Melaka sedia bertanding, tak takut BN Plus
UMNO Kedah tolak PN gelar ‘parti kucing’, pilih runding terus dengan PAS
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum