MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu

September 21, 2026 · Politik

Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim menegaskan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.

Penegasan itu dibuat susulan perkembangan berkaitan kedudukan barisan Exco negeri serta tafsiran terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Dalam kenyataan media hari ini, Ismail berkata tafsiran terhadap peruntukan UUTKNS perlu dibuat secara menyeluruh, khususnya berkaitan kuasa eksekutif dan tempoh perjawatan anggota Exco.

Menurutnya, sistem pentadbiran Negeri Sembilan berasaskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, dengan kuasa pentadbiran negeri dilaksanakan mengikut peruntukan perlembagaan negeri.

Beliau merujuk Perkara 40(1) UUTKNS yang menetapkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran.

Ismail turut berkata kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Besar dalam urusan pentadbiran hanya meliputi perkara yang dinyatakan secara khusus dalam Perkara 40(2).

“Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan Exco secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara ini,” katanya.

Menurut Ismail lagi, Perkara 38(5) UUTKNS berkaitan tempoh perjawatan Exco tidak boleh dibaca secara berasingan dan perlu ditafsir bersama Perkara 38(4) serta Perkara 40(1).

Beliau berkata sebarang perubahan atau penamatan kedudukan anggota Exco ketika pentadbiran sedang berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar.

“YAB Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail menegaskan tiada keperluan mengemukakan senarai Exco baharu kerana barisan sedia ada masih sah menurut tafsiran kerajaan negeri.

“Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.

Perkembangan itu susulan keputusan Istana Negeri Sembilan berkaitan kedudukan anggota Exco negeri, yang mencetuskan perbahasan mengenai tafsiran peruntukan UUTKNS 1959 serta bidang kuasa Yang di-Pertuan Besar dan Menteri Besar dalam urusan pentadbiran negeri.

Ismail berkata Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat dipelihara mengikut lunas undang-undang.

Berita berkaitan
PKR Negeri Sembilan pertahan keputusan Tuanku Muhriz, persoal tindakan Exco
September 21, 2026· Politik
Tuanku Muhriz batal pelantikan semua Exco Negeri Sembilan
3 jam lalu· Politik
Proklamasi 19 April tak akan diwartakan, SUK Negeri Sembilan ikut pandangan AGC
September 17, 2026· Politik
AGC: Proklamasi 19 April turunkan Tuanku Muhriz tidak sah
September 17, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Tabung RM50 juta Najib: Wanita PKR persoal UMNO bawa budaya memaafkan perasuah?
September 21, 2026 · Politik
PRN Melaka: PH sedia jalan sendiri jika BN tak berminat kerjasama
3 jam lalu · Politik
Sheikh Umar: Sepatutnya Zahid patut letak jawatan, bukan Loke
16 jam lalu · Politik
PKR Kedah tolak gesaan supaya bubar Parlimen awal
16 jam lalu · Politik
G25 mahu rakyat tahu nasihat AG mengenai tahanan rumah Najib
16 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok