AGC: Proklamasi 19 April turunkan Tuanku Muhriz tidak sah

September 17, 2026 · Isu semasa

Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan Proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

AGC menegaskan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Menurut AGC, kesahan serta kesan proklamasi berkenaan perlu ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.

“Jabatan ini berpandangan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar,” menurut kenyataan AGC malam ini

AGC berkata, pandangan awal jabatan mendapati Proklamasi 19 April 2026 tidak mematuhi kehendak Perkara 10 UUTKNS, khususnya kerana tiada keterangan menunjukkan mana-mana faktor hilang kelayakan yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(1) terpakai kepada Tuanku Muhriz.

AGC turut menjelaskan walaupun Undang Yang Empat mempunyai kuasa mengambil tindakan untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar, Perkara 10 turut menetapkan tatacara serta asas pertimbangan yang perlu dipatuhi sebelum keputusan dibuat.

“Setakat hari ini tiada fakta yang menunjukkan tatacara yang diperuntukkan tersebut telah dipatuhi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, AGC membangkitkan isu kedudukan beberapa Undang yang menandatangani proklamasi berkenaan, susulan dakwaan mereka tidak lagi memegang jawatan secara sah berdasarkan adat di luak masing-masing.

Menurut AGC, perkara itu menimbulkan persoalan terhadap komposisi Undang Yang Empat ketika proklamasi tersebut dibuat.

AGC turut merujuk Perkara 16 UUTKNS 1959 yang memperuntukkan persoalan berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Undang, berada dalam bidang kuasa Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Pada masa sama, AGC berpandangan pengumuman Exco Negeri Sembilan berhubung perkara itu tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang kerana tidak mempunyai bidang kuasa atau autoriti di bawah UUTKNS untuk membuat pengumuman berkenaan.

“Berdasarkan perkara-perkara di atas, tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan Proklamasi tersebut adalah menjadi suatu tindakan yang tidak sah kerana tidak berperlembagaan,” menurut AGC.

Isu berkenaan tercetus selepas Exco Negeri Sembilan pada 15 September lalu memutuskan Proklamasi 19 April 2026 adalah sah dan kemudiannya mengumumkan Tuanku Muhriz diturunkan takhta serta Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.

Bagaimanapun, DKU turut menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

AGC memaklumkan perkara berkaitan turut sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Seremban dan terdapat perintah mahkamah berbentuk interlocutory injunction yang masih berkuat kuasa.

“Jabatan ini menyeru semua pihak supaya menghormati proses mahkamah dan membenarkan ia diselesaikan secara teratur,” katanya.

Berita berkaitan
Van polis ditempatkan di kediaman Najib mulai esok
7 jam lalu· Politik
Najib kekal di Kajang selagi denda RM50 juta belum dibayar
7 jam lalu· Politik
Pengampunan Najib: Loke pilih untuk berundur dari Kabinet
September 19, 2026· Politik
Bila UMNO nak lancar tabung ganti kerugian 1MDB disakau Najib? soal Pemuda Amanah
September 19, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
7 jam lalu · Isu semasa
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
September 19, 2026 · Isu semasa
Bil elektrik boleh turun hingga RM47 sebulan mulai Oktober: TNB
September 18, 2026 · Isu semasa
Sita kargo Israel, bukti Malaysia tak berkompromi: Zulkifli
September 18, 2026 · Isu semasa
Zamri Vinoth kekal berdepan pertuduhan, perbicaraan April tahun depan
September 18, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok